Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, April 10, 2010

Mencari Fikrah Kembali...


Ada orang kata aku gila. Ya, Mohamad Fa’id gila. Gila kerana memecah kontrak, meninggalkan biasiswa yang ribuan lagi insan lain meminta. Gila kerana meninggalkan rezeki yang ada di depan mata, kononnya aku menghancurkan masa depan aku sendiri.

Ada pula orang kata aku tidak tahu bersyukur. Tidak bersyukur dengan kurniaan Allah, tidak sedar bahawa tidak semua benda di dalam dunia ini yang kita mahu kita akan dapat.

Mungkin mereka terlupa untuk mendalami maksud namaku. Fa’id membawa maksud, tetap, berhasil, istimewa atau bersungguh-sungguh. Maka, mahu aku simpulkan di sini bahawa aku ini tetap pendirian serta bersungguh-sungguh dalam menegakkan agama yang istimewa untukku dan aku percaya bahawa segalanya akan berhasil.

Istimewa? Apa agama yang istimewa untukku?

Islam. Mudah bukan, ya Islam adalah agamaku. Terlalu istimewa.

“Fa’id, kamu dah fikir masak-masak?” Aku masih tidak lupa soalan yang sentiasa menerjah ke dalam gegendang telingaku. Mujur sahaja Allah mencipta gegendang telinga ini tidak mudah koyak dek suara-suara manusia lain. Jika tidak sudah tentu aku tidak punya gegendang telinga lagi lantaran terlalu banyak soalan yang sama menerjah telingaku.

Ah! Bosan.

Pada mulanya aku masih mampu tersenyum dan menjawab, “Ya, keputusan saya muktamad.” Tetapi apabila asyik diasak dengan persoalan yang sama, maka senyuman aku menjadi satu garisan lain yang penuh dengan kebencian.

“Kamu sudah istikharah?” Soalan lain menyusuli jawapan yang baru tadi aku berikan.

“Sudah.”

“Berapa kali sudah kamu istikharah? Kamu sudah solat taubat sebelum beristikharah?”

Aku menjadi semakin bosan. Suara-suara yang datang benar-benar membingitkan telingaku. Sesekali terasa mahu menjerit melepaskan segala kebencian dan kebosanan. Sesekali aku terasa ingin berlari jauh dari mereka. Mereka yang tidak pernah puas dengan jawapan yang aku berikan. Mereka yang tidak pernah mahu memahami hati sanubariku.

Ya, aku mahu lari. Mahu lari agar lebih dekat dengan Islam yang aku cintai.

Benar, fitrah manusia itu suci dan bersih. Begitu juga dengan hati aku. Hati kamu dan hati mereka. Cuma, apabila sudah selalu dikotori maka hati akan hilang sifat sensitif terhadap maksiat. Aku tidak mahu menjadi seperti itu. Cukuplah hati aku menangis dan memberontak sepanjang berada di tempat ini, ya, satu tempat yang pengajianku ditaja sepenuhnya.

Cukuplah, aku tidak mencari itu dalam kehidupanku. Aku cuma mahu mencari redha Ilahi, maka jangan halangi langkahan kakiku kerana aku mencari cinta-Nya kembali......

***

“Fa’id, kenapa kau menangis?” Fakhrudin, teman sejatiku bertanya.

Cuti semester yang panjang dan kebetulan pula sama cuti dengannya membenarkan aku bertemunya. Teman sefikrahku, teman sejatiku yang sentiasa memimpin aku mencari cahaya di dalam kawasan yang gelap gelita. Seorang teman yang sentiasa membantuku bangkit setelah aku jatuh terpelosok.

Namun, takdir penentu segala... Fakhrudin meneruskan pengajian di Jordan manakala aku terus di sini, di Tanah Airku...

“Eh, mana ada. Mata aku masuk habuk.” Aku cuba berdalih.

Fakhrudin tergelak kecil. Pantas, sikunya lembut mendarat di pinggangku.

“Dengan budak tadika bolehlah kau tipu... Aku dah kenal kau sejak hingus meleleh lagi tahu?”

Aku tergelak kecil. Ada ke hingus meleleh? Tak patut betul..

“Hati aku, sakit...” Aku mendengus perlahan, cuba menahan perit yang kian terasa.

“Kenapa?” Garis-garis halus di dahi Fakhrudin mula kelihatan, melambangkan mindanya sedang ligat berputar.

“Pasal tempat pengajian aku.” Aku berpaling, membelakangi dirinya. Panorama di atas bukit ini amat menyamankan. Tenang.

“Kenapa sahabat?” Lembut, Fakhrudin menyentuh bahuku.

Aku mengangkat kedua-dua tangan. Membetulkan sedikit tulang belikatku. Penat.

“Tempat aku, mungkin tak sebaik tempat kau.”

“Astarghfirullah sahabat. Allah sudah tetapkan yang terbaik, mungkin aku tak sekuat kau, sebab tulah Allah tak turunkan ujian tu kat aku. Kau kuat.”

“Kau tak faham...”

“Fa’id, kau lupa pada Rasulullah yang hidup di celah-celah masyarakat yang sedang dalam kegelapan?”

“Ya, aku tahu. Selalu juga aku pujuk hati dengan sirah Rasulullah, tapi aku tak tahan bila ditekan melakukan sesuatu yang aku tak mahu. Aku tak dapat mengelak daripada program-program yang tidak menepati syara’. Aku tersepit antara peraturan manusia dan Allah. Aku tersepit antara lulus peperiksaan manusia dan Allah. Aku perasan pada perubahan diri aku yang sudah kurang menjaga, malah aku perasan bahawa hati aku sudah mula hilang sensitiviti sedikit demi sedikit. Sahabat, hati aku..sakit...hati aku..tenat...” Air mata yang puas aku tahan gugur juga. Ah, lelaki tidak boleh selemah ini!

Pantas aku mengesat butir-butir jernih itu.

Fakhrudin diam.

“Kau tak cuba berbincang dengan pihak pengurusan?” Satu solusi darinya muncul.

Aku mengangguk lemah.

“Sudah.”

“Jadi?”

Aku mengangkat bahu. “Bukan semua manusia akan senang dengan teguran dan bukan semua manusia yang sedia pada perubahan. Aku tak tahu macam mana untuk bertahan lagi 4 tahun.Aku rindu pada aku yang dulu.”

Aku merebahkan badanku ke atas rumput, menghadap langit yang teguh berdiri. Awan-awan yang bergerak amat menyejukkan hati. Syukur, aku masih diberi peluang menikmati semua ini.

Fakhrudin duduk di sebelahku. Wajahnya serius seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Sahabat.” Tiba-tiba dia bersuara.

Aku mengangkat kening sebagai tanda ‘kenapa?’

“Kau tak mahu tukar Universiti?”

“Maksud kau?”

“Berhijrah kepada tempat yang lebih baik. Berhijrah kepada tempat yang memahami fikrah.”
Pantas aku bangun dari pembaringan, duduk di sebelah Fakhrudin. Aku menatap matanya yang bersinar.

“Kau.. tak rasa aku akan meninggalkan teman-teman dalam kegelapan?”

Fakhrudin menggeleng laju. “Tidak. Kau bukan meninggalkan mereka terus. Masih perlu follow-up, tapi dalam masa yang sama kau bawa diri kau jauh daripada perkara yang menggelapkan hati.”

“Em... Kau tak rasa aku pengecut, melarikan diri?”

“Sahabat! Kau lupa pada kisah Ashabul Kahfi yang bersembunyi demi menyelamatkan iman?”

“Jadi bagaimana dengan masa depan aku?”

“Fa’id.. Rezeki itu milik Allah, kalau kau ikhlas buat segalanya kerana Allah, Allah pasti tolong kau,asalkan kau ada usaha. Kau lupa?”

“Bagaimana persepsi orang pada aku?” Aku masih ragu-ragu.

Fakhrudin tersenyum. Segera tangannya dihulurkan.

“Aku kan ada”

Aku tersenyum sama. Entah kenapa hati aku benar-benar tenang. Sudah lama aku tidak merasa ketenangan yang seperti ini.

Tanganku dihulur, menyambut huluran tangan Fakhrudin.

“Terima kasih sahabat!”

***

Proses pemberhentian dari tempat pengajian yang seolah-olah sengaja dirumitkan benar-benar menekan emosiku. Aku cuba bersabar, malah bersabar dengan persepsi-persepsi bahawa aku ini menolak tuah. Biarlah, tidak akan ada satu manusia pun yang mampu memahami manusia lain melainkan dia sanggup untuk memberi kefahaman.

Aku tidak memaksa sesiapa pun untuk memahamiku. Malah, aku mempersilakan sesiapa sahaja yang mahu mencemuh, mencaci malah mengatakan apa sahaja yang mereka suka, asalkan Allah tahu niat sebenarku dan pergantungan sebenar aku hanyalah pada Allah, bukan pada figur yang sama seperti aku.

“Fa’id” Suara itu memanggil lagi.

Aku menoleh. Satu senyuman hambar aku pamerkan. Encik Hashim berwajah serius memandangku.

“Awak sudah benar-benar nekad?” Soalan yang sama dilontarkan.

Aku mengangguk.

“Ada apa-apa lagi? Maaf, saya ada hal yang perlu diuruskan.” Aku meminta diri. Tidak mahu memanjangkan perbualan, bimbang aku menjadi kurang ajar lantaran hati yang semakin panas membara.

Astarghfirullah. Aku beristighfar, dan segera langkahan kaki ku arah ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Air adalah terapi terbaik manusia, yang mampu menyejukkan hati.

‘Tiit..Tiit’

Poketku bergetar. Pantas aku menarik handphone Sony Ericsson W705ku.

1 message received
from
Encik Hashim

Aku menghela nafas. Masih berkira-kira untuk menekan butang ‘show’. Kaki aku bergerak pantas keluar dari bilik air.

Nafas ditarik panjang. Segera, ibu jariku menekan butang show dan terteralah mesej itu.


Fa’id, kamu tahu tak berapa ramai yang mohon untuk mendapatkan peluang yang kamu dapat? Mengapa kamu mahu mensia-siakannya? Ini adalah masa depan kamu. Masa depan kamu sudah terjamin apabila kamu menjejakkan kaki di sini.


Aku tergelak sinis. Lagi-lagi soal masa depan yang dibicarakan. Seolah-olah mereka adalah Tuhan yang mengetahui masa depanku. Pengajian dibiayai dengan jaminan pekerjaan bukanlah petanda bahawa masa depan seseorang itu sudah terjamin. Tapi, masa depan yang terjamin mengikut persepsi aku adalah masa depan yang sentiasa mendapat redha Ilahi, masa depan yang ditempuhi dengan hati yang tenang.

Pantas ibu jariku memainkan peranannya. Punat reply ditekan.

Maaf, keputusan saya muktamad. Soal masa depan biarlah Allah yang menentukan kerana saya sendiri tidak tahu masa depan saya. Semoga semuanya baik-baik sahaja. Terima kasih.


Entah dari mana aku mendapat kekuatan itu.

Satu nafas berat dilepaskan. Tanganku membetulkan tali leher yang dipakai dan segera kakiku melangkah menuju ke asrama.

‘Tiit..Tiit’

Telefon bimbitku berbunyi lagi. Aku memandang ke skrinnya.

1 message received
from
Encik Hashim

Pantas, jariku menekan butang show. Tiada lagi gentar.

Kalau macam tu saya adalah manusia gagal, kerana tidak mampu menahan awak dari pergi.

Aku tersengih. Segera mesej itu dipadam. Aku sendiri tidak pasti apakah maksud di sebalik manusia gagal. Adakah dia merasa gagal kerana gagal menghalang pelajar dari pergi sekaligus merosakkan reputasinya?

Entah.

Tanganku pantas pula menaip mesej.

Saya minta maaf. Encik tidak gagal, Cuma keputusan saya muktamad.

Sent!

Aku melangkah lagi, kali ini dengan hati yang lapang...

***

“Ehem.. Termenung jauh nampak?”

Fakhrudin tersengih sambil menghirup kopi yang dipesan sebentar tadi.

Aku tersenyum malu, “Yelah pak ustaz. Aku teringat kisah silam”

Fakhrudin, sahabat sejatiku sudah tersohor kini. Mencipta nama sebagai seorang pendakwah bebas, juga memiliki syarikat konsultansi sendiri yang selalu membuat kem-kem motivasi buat para remaja.

“Macam baru semalam aku tengok kau menangis, sekarang kau dah tubuhkan sekolah Islam, malah jadi pensyarah lagi.”

“Semua tu rezeki Allah...”

Aku menghirup air Teh di hadapanku. Ya, rezeki Allah tiada siapa yang dapat menjangka. Alhamdulillah, dalam pencarian fikrah kembali,urusan pemberhentianku dipermudahkan dan aku dapat menamatkan ijazah sarjana muda di tempat lain,malah terus menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

“Ha, kau bila nak ambil phD pula?” Selamba Fakhrudin bertanya.

“Kenapa?”

“Saja tanya.”

“Aku nak ambil sama-sama dengan kau.”

“Kenapa?”

“Saja”

Kami ketawa. Bersama.

Masih sama seperti dulu. Cuma dahulu kami menangis. Bersama.



6 comments:

cahaya hati said...

hurm..baru lepas baca kebanyakkan artikel dalam blog mastura ni akak faham..pe yg dalam hati mastura..kalau la akak mampu jadi macam faid..

Mastura Mohd Yusuf said...

insyaAllah..

Semoga kita sama-sama kuat sebab Allah tidak akan menzalimi hambaNya

=)

Anonymous said...

=)

-chy mlmku-

Atiqah Solehah Jamil said...

semoga awk berjaya walau dimana awk berada.

Anonymous said...

Sahabatku yg disayangi krn Allah..

Ana bangga dengan enti...
Sabar ye..
Allahu Maana...
Doakan ana di sini..

Mastura Mohd Yusuf said...

anonymous a.k.a chy mlmku

=)

Atiqah Solehah Jamil

Syukran atas doanya. Semoga kita sama-sama berjaya :)

anonymous a.k.a ayuni

Ana bangga dengan enti juga.. Teruskan terbang... Agar dakwah Islam tersebar luas :) Moga nanti kita dapat bersatu kembali..

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .