Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, June 27, 2012

Kembara Palestin -3-

Pintu masuk untuk ke lorong-lorong menuju ke masjid Al-Aqsa


Oh Palestin,
Dari jauh kau meratap,
Saudaraku, saudaraku,
Di manakah kalian?


“Wa, wa bangun.. dah nak subuh ni, kata nak solat kat Al-Aqsa?” Emak menggerak badan saya. Lembut.

Hendak menyesuaikan diri dengan waktu di sini memang agak payah pada mulanya. Subuh seawal jam 4 pagi, ah, berat mata nak terbuka. Tapi mengenangkan Al-Aqsa yang entah bila lagi dapat melawatnya, saya menggagahkan diri.

Subuh itu, hanya saya, emak dan adik sahaja berjalan menuju ke Al-Aqsa. Ahli rombongan lain rata-rata tidak sihat kerana masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Subuh itu sejuk. Sunyi.

Sepanjang jalan, tiada manusia yang kelihatan. Hati saya mula gusar. Mujur, tatkala sudah hendak masuk ke pintu sebelum meredah lorong-lorong dalam kawasan Aqsa itu, kami terserempak dengan rombongan dari Indonesia. Dengan merekalah kami berteman :’)

“Where are you from?” di hadapan pintu masuk masjid Al-Aqsa, kami ditahan oleh polis Israel.

“Malaysia.”

Kami dilepaskan.

Ya, bukan semua orang boleh memasuki masjid Al-Aqsa, apatah lagi jika rakyat Palestin. Ada ketikanya, hanya mereka berumur 45 tahun ke atas serta kanak-kanak yang tidak berdaya sahaja dibenarkan memasukinya. Rakyat Palestin harus mempunyai permit untuk ke mana-mana. Hatta untuk memasuki masjid sendiri!

Bergerak dalam satu ‘penjara besar’ bernama Negara Sendiri bukanlah sesuatu yang indah. Bahkan merupakan sesuatu yang amat merobek hati. Apatah lagi apabila mereka digelar pengganas dan pemberontak oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hanya kerana mereka ingin merdeka di negara sendiri.

Usai solat subuh, kami bergerak menuju ke hotel. Di hadapan kami tatkala itu ada 2 orang Arab yang sedang berjalan. Tiba-tiba dia diserbu oleh beberapa orang untuk mengambil gambar bersama.

Saya menjadi hairan. Siapa tu? Kenapa popular sangat?

Lama saya memerhati. Rupanya itulah Imam Nombor Satu Masjid Al-Aqsa. Subhanallah! Memang semenjak di Malaysia saya amat berharap untuk bertemu dengannya. Wajahnya indah berseri-seri, bibirnya menguntum senyum, tatkala orang menyerbu untuk mengambil gambar, dia tenang sahaja, tersenyum, dan berkata: Marilah.

Saya terpegun. Kaku. Terus tak dapat ambil gambarnya. Allah, balik ke hotel baru perasaan menyesal itu timbul. Namun Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Semenjak hari itu, setiap kali kaki digerakkan menuju ke Al-Aqsa saya sentiasa berdoa agar dipertemukan lagi dengannya, namun Allah lah yang merancang segalanya, saya tidak bertemu dengannya lagi. Moga-moga beliau berada dalam perlindungan Allah selamanya.

Pukul 8 pagi, kami bergerak menuju ke Hebron. Sepanjang perjalanan, kelihatan rumah-rumah Israel yang cantik-cantik. Besar dan Agam.

“Suatu ketika dahulu, rumah-rumah ini adalah milik rakyat Palestin” Pemandu pelancong kami bercerita. “Tapi, apabila Israel datang, mereka menghalau semua rakyat Palestin, merobohkan rumah mereka, membina penempatan baru dan memanggil semua Yahudi yang bertempiaran di 85 buah Negara untuk memenuhkan penempatan di Negara haram Israel.” Sambungnya.

Begitu hina rakyat Palestin diperlakukan. Rumah rakyat Palestin hanyalah rumah-rumah buruk yang kadangkala mungkin kita tak sangka itu sebenarnya adalah rumah, sedang mereka yang menjajah duduk senang lenang di rumah Agam hasil rampasan daripada insan yang tidak berdosa.

Tiba di Hebron lebih menyayat hati.

CCTV Israel di udara.. mereka lupa, CCTV Allah di mana-mana!

Hebron pada suatu ketika dahulu merupakan satu Bandar yang maju. Rakyatnya amat pandai berniaga. Namun, apabila Israel datang, mereka menutup semua kedai dan melarang rakyat berniaga hingga mereka jatuh miskin dan menjadi pengemis. Bandar Hebron menjadi sepi.

Di hebron ramai anak-anak kecil yang mengemis, dan mengekori pelancong untuk menjual souvenir yang ala kadar sahaja.

Kanak-kanak di Hebron.

Saya dieekori oleh seorang remaja. Pada awalnya saya takut untuk membeli kerana bimbang ‘diserbu’. Tapi remaja itu tidak putus asa. Saya amat bersimpati, tapi pada ketika itu semua berjalan laju dan kerana bimbang diserbu saya masih buat tidak tahu sehinggalah dengan tegas dia berkata, “Adakah anda tahu ada berapa ramai anak yatim di sini? Adakah anda tahu berapa ramai kanak-kanak yang kehilangan ibu, kehilangan ayah?”

Melihat mata tegasnya, benteng ‘buat tidak tahu’ saya runtuh. “Berapa?” Saya menunjuk pada satu gelang yang ditampal bendera Palestin di sekelilingnya. “Terpulang.” Katanya. Saya ambil satu, dan sehingga kini saya menyesal kerana ambil satu. Gelang itu tidak dijumpai lagi di mana-mana, dan mengenangkan anak itu, ah... Semoga hari ini dia masih hidup dan berada dalam perlindunganNya.

Di Hebron, kami melawat Masjid Ibrahim. Satu Masjid di mana telah dibahagi dua, Israel mengambil sebahagian masjid yang terdapat maqam Nabi Yaakub. Sehingga kini, umat Islam tidak dapat menziarahi maqam tersebut. Di masjid ini kami diperiksa dengan ketat sekali. Body scanner, periksa beg.. semuanya... umpama kami ke sana untuk bom masjid tersebut.


Pada mulanya melalui gerigi besi.

Selepas itu melalui body scanner dan pemeriksaan beg.

Israel menunjukkan taringnya lagi apabila masjid ini diharamkan untuk melaungkan azan pada hari sabtu kerana mereka membuat upacara di bahagian masjid yang mereka rampas itu.

“Allahu Akbar.” Beberapa orang yang sedang solat dhuha melakukan sujud.

Bang! Bang! Bunyi tembakan. Mereka rebah, darah terhambur keluar, membasahi ruang sembahyang di Masjid Ibrahim.

Di sinilah dahulu saudara-saudara kita ditembak.

Ya, pada tahun 1996 yang lalu peristiwa itu berlaku. Tatkala saudara-saudara kita sedang melaksanakan solat dhuha, Israel datang dan menembak tanpa sebab. Mereka berani mengotori ruangan suci masjid Ibrahim, dimana di situ terdapatnya maqam Nabi ibrahim, Nabi Ishak, serta Sarah isteri nabi ibrahim.

Ruang untuk ke maqam melalui bawah tanah telah pun ditutup.


Mereka sangka mereka menang, sedang mereka hakikatnya berada dalam tampuk kehinaan yang nyata.

Pulang dari Hebron, kami singgah di satu kedai kraftangan milik rakyat Palestin. Tiba-tiba seorang pakcik yang sangat tua datang menjual beberapa keychain dan sebagainya.

Saya betanya, “adakah anda rakyat Palestin?”

“Alhamdulillah.” Jawabnya.

Tidak lama kemudian dia berkata, "Du’a... Du’a... Du’a for Palestine.”

Pakcik inilah yang berkata : du'a for Palestine.

Hati saya berdarah. Seperti ditusuk-tusuk, melihat wajah sepi pakcik tersebut, mata saya mula digenangi air, dan suara seorang pakcik di lorong-lorong Aqsa pada waktu subuh yang lalu seolah-olah terdengar kembali :

“This is PALESTINE. No Israel. No! This is Palestine!”

Moga Allah mengampunkan saya yang selalu alpa...

To be continued....

Saudaraku, saudaraku,
Kami terpenjara di negara sendiri,
Apakah ada kami,
Dalam doamu?


wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .