"Mak..mak.." air mata saya mengalir laju walaupun mata masih terpejam rapat. Tika itu saya berusia 6 tahun.
"Wa. Wa." Terasa sesuatu menggerak-gerakkan badan saya. Mata terbuka. Terlihat wajah cemas emak di sisi.
Saya lantas bangun dan memeluk tubuh emak erat. Seakan tidak mahu dilepaskan. "Mak.." air mata masih mengalir.
"Mimpi apa?" Kata emak sambil mengusap-usap rambut si kecil mastura. Saya sekadar menggeleng. Tidak sanggup diceritakan mimpi itu.
Sebuah mimpi yang dahsyat -- kami sekeluarga terlibat dalam kemalangan, emak abah tercampak ke luar kereta, yang tinggal cuma saya. Tak punya siapa. Nauzubillah.
Semenjak hari itu, saya sering tertanya-tanya, bagaimana nanti aku mahu hidup tanpa emak, tanpa abah di sisi-- membayangkannya sahaja sudah tidak sanggup, apatah lagi mahu melalui!
I was once a daddy's girl. Sikit-sikit abah. Apa-apa mesti cari abah. Sampaikan abah outstation, saya jatuh sakit. Lalu saya berfikir lagi-- bagaimana nanti kalau abah pergi tak kembali, adakah saya jatuh sakit yang lebih teruk tak terperi.
Lontaran mata saya buang sejauh mungkin. Hinggalah satu ketika dengan penuh cinta, Allah menguji -- abah jatuh sakit. Di hadapan mata seorang anak abah ini, abah jatuh sakit perlahan-lahan. Tahun demi tahun kesihatan abah semakin merudum.
Saya tolak tawaran melanjutkan pengajian ke luar negara beserta biasiswa -- pertama kerana abah pernah pesan kalau nak belajar luar negara kena kahwin dulu (though it only applies to me and not to the other siblings sebab abah risau sangat this girl seems too weak🙄) kedua, kerana mahu kekal di sisi abah, dan kelak kalau Allah mahu ambil abah pergi, saya mahu tetap di sisi menghantar abah hingga ke kuburan sepi.
Namun siapalah saya untuk menolak aturan Sang Pencipta. Tatkala dia berkata kun -- fayakun. Jadi, maka jadilah ia.
Abah pergi-- saat saya jauh di Turki.
Saya menangis setiap malam. Berbulan lamanya. Tertanya-tanya : Tuhan, kenapa aku?
Hinggalah suatu ketika, dengan lelehan air mata, saat lembaran Al-Quran dibuka, mata saya tertancap pada ayat : tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Air mata saya mengalir lebih laju, mengimbau kembali detik-detik lalu.
Tatkala ujian diberi, tatkala Allah mengambil orang yang paling bermakna bagi saya pergi, Allah telah pun menyiap sediakan saya segagah mungkin.
Tatkala abah sakit, dari seorang anak manja yang lembik, saya belajar berdikari. Berlari-lari antara hospital dan tempat kerja, tak cukup tidur, menangis sampai bengkak mata hinggalah ke tahap tersungkur lemah -- Allah beri latihan sedikit demi sedikit.
Hinggalah sampai satu saat saya mampu berdiri sendiri -- maka Allah ambil abah pergi.
Allah tak jahat, sayang. Percayalah setiap apa yang kita lalui, Allah dah bagi training terlebih dahulu. Cubalah lihat ke masa lalu, betapa banyak ujian dah kita lalui-- walaupun pada suatu ketika dulu kita sendiri tak tahu bagaimana nak hadapi semua itu.
Lalu ketika sepupu saya bertanya, "macam mana kak wawa redah kehidupan, tak culture shock ke dengan benda-benda baru?"
Saya cuma tersenyum, "tak." Sebelum menyambung, "apa ada depan mata redah jelah. Tak payah overthinking. Pahit manis-- those things will create a new you, a stronger you. A tougher you."
One tip for you : believe in Him. He will NEVER leave you alone.
Dont let something that you fear might happen makes you do nothing at all.
Berdoalah, nescaya Dia perkenankan -- ini janji Allah, tak mungkin termungkiri.
Salam sayang :)