Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, March 17, 2015

Kerinduan Bilal terhadap Nabi


Bilal bin Rabah mengorak langkah, sesekali kakinya berhenti melangkah, kepala ditoleh ke belakang, sayu meninggalkan Kota Madinah.

Namun apakan daya, hatinya sudah tidak tertahan lagi. Tinggal di Madinah bererti hatinya bakal pecah dengan kerinduan yang mendalam terhadap Rasulullah. Tinggal di madinah bererti jiwanya bakal robek dengan segala kenangan yang tercipta bersama baginda Rasulullah.

Lalu Bilal nekad melangkah, tinggallah Madinah, tinggallah kenangan…. Bilal berhijrah ke Kota Syam.

Suatu hari, Bilal tersedar dari tidurnya lalu menangis. 

“Mengapa kau menangis wahai Bilal?” Tanya isterinya.

“Aku mimpikan Rasulullah…” Jawab Bilal. Bermimpi Rasulullah, menurut banyak para ilmuwan hadith dan dicatatkan dalam banyak kitab-kitab Hadith - bermimpi tentang Rasulullah adalah benar kerana baginda pernah bersabda, barangsiapa yang bermimpi melihat aku, maka dia benar-benar melihat aku kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku.

Bilal menyambung kata “Rasulullah berkata, wahai Bilal, kegersangan apakah ini? Sudah tiba masanya kau menziarahi aku…”

Siapakah yang mengaku mencintai Nabi, tetapi tidak pernah memasang niat menziarahi Baginda? Cintakah begitu?

Bilal menangis resah. Lalu kakinya melangkah, bermusafir untuk menziarahi makam baginda Rasul yang tercinta.

Setibanya Bilal di sisi makam Rasulullah, Bilal menangis dan rebah sebelum dirinya meracau-racau. Bukanlah maksudnya di sini kita boleh meracau-racau di sisi kubur, kita berpegang pada pendapat para ulama’ antaranya Imam An-Nawawi tentang adab-adab di kubur.

Berdiri sekurang-kurangnya 3 hasta, tidak meracau, menundukkan kepala dan menghormati kubur. Kenapa? sekiranya kita berhadapan dengan mereka yang masih hidup adakah wajar kita meracau-racau di hadapan mereka? Namun bukanlah mengusap-usap kubur itu haram, tidaklah pula ia jatuh syirik, melainkan hanya tidak sempurna adabnya dalam menziarahi kubur.

Tetapi Bilal bin Rabah… Akibat kerinduan yang memuncak telah jatuh rebah dan hilang kawalan diri. Rindunya sungguh-sungguh. Cintanya begitu mendalam. Dia tewas dalam kerinduannya yang mendalam tatkala kakinya menjejaki Madinah dan berhadapan dengan makam Rasulullah tercinta.

Para sahabat yang tahu akan kehadiran Bilal menyuruh Bilal melaungkan azan sebagaimana yang Bilal selalu lakukan pada saat Rasulullah masih ada. Bilal menolak kerana berasa sungguh tidak mampu melakukannya.

Tiba-tiba, cucu-cucu Baginda Rasulullah - Hassan dan Hussein datang berlari-lari ke arah Bilal, Bilal tersenyum, senang hati melihat waris Baginda Nabi. Hassan dan Hussein menyuruh Bilal melaungkan azan. Mengenangkan mereka adalah cucu Nabi, Bilal langsung bersetuju.

Tatkala Bilal melaungkan azan, seluruh penduduk madinah terkejut dan keluar dari rumah masing-masing. Mereka menuju ke masjid. Sangka mereka, Rasulullah kembali hidup.

Sebaik sahaja Bilal melaungkan Allah hu Akbar, seluruh penduduk terdiam. Kali kedua Bilal melaungkan Allah hu Akbar, bercucuran air mata para sahabat, dan apabila bilal melaungkan Asyhadu anna Muhammadur Rasulullah!, Bilal terus terduduk dan menangis teresak-esak. Para sahabat datang meluru dan bertanya kenapa, lalu Bilal menjawab, 

“Aku AMAT merindui Rasullullah dan aku seperti terlihat-lihat baginda datang bersembahyang bersama kita…”

Ah, berapa kalikah kita yang mengaku mencintai Nabi, mengalirkan air mata penuh kerinduan?

:’)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .