Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, January 7, 2016

Cinta itu macam abah


"Mas tadi kite dengan mak kite nak kejar satu bas ni, lepas tu pakcik bas ni cakap sesuatu yang lejen" suatu hari sahabat saya bercerita.

"Apa?" Balas saya ringkas. 

"There are two things that you should not chase in your life -- first, bus. Second, man." 

Saya tersenyum, teringat perbualan lama. Betul, untuk apa kita mengejar seseorang yang tak pernah kita tahu akan duduk letaknya kita di hati mereka, untuk apa kita jatuh bangun terluka berdarah untuk seseorang yang entah tak pernah peduli pun tentang kita. Untuk apa? 

Kalau dia benar-benar cinta, dia sendiri akan datang tanpa perlu dipaksa-paksa --

Macam abah. 

Berumur 16 tahun ketika saya menjejakkan kaki di sebuah MRSM, saya tidak malu mengaku bahawa saya adalah anak abah. Dan hampir pula setiap minggu abah datang melawat saya di asrama.

Suatu hari, ketika di dalam kereta selepas selesai membeli barang-barang keperluan, abah tiba-tiba meluahkan rasa, akan masalahnya di tempat kerja, akan tekanan hidupnya, akan semua, setiap apa yang selama ini abah sembunyikan pada senyum dan tawa.

Saya cuma diam, apalah anak berusia 16 tahun tahu pada ketika itu. Pada saya abah adalah hero, abah adalah dinding penyelamat bagi setiap masalah saya, abah adalah superman yang akan sentiasa membantu saya keluar dari masalah.

Tapi rupanya, abah juga ada masalah. Saya diam merenung ke luar jendela, kemudian abah bersuara, 

"Abah minta maaf. Awak kecik lagi, tak patut abah bebankan awak dengan masalah abah."

Saya pandang abah, dalam. Hati saya retak sedikit, kerana saya tak mampu berbuat apa -- hatta untuk meluahkan sepatah kata, saya tidak mampu.

Tiba waktu abah untuk pulang, saya cium tangan abah, saya cium pipi abah, saya cuma harap abah faham bahawa saya akan sentiasa di sisi, tak kira apa, walau saya tidak bisa berbicara, tapi saya benar-benar kisah, setiap apa yang abah lalui, setiap jerih perih keringat yang abah hadapi, semuanya -- saya ingin tahu. 

Dan saat itu saya mengerti akan sebuah cinta. Cinta adalah membuat orang yang kita cinta bahagia, meski tak pernah diluah sentiasa, meski tak pernah berhubung selalu, cukuplah bila kita tahu kita adalah pencetus senyum tawanya. Macam abah.

Cinta tidak perlu dipaksa-paksa, bila orang dah tak suka, akur saja. Setiap yang ditakdirkan tidak bersatu, kau buat apa pun tidak akan bersatu, macam air dan minyak. Begitu pula setiap apa yang ditakdirkan bersatu, kau beri seribu halangan sekali pun tetap akan bersatu. Macam abah yang selalu tetap hadir meski dia sendiri berada dalam pelbagai masalah. 

Dan cinta itu, seharusnya tetap subur meski orang yang kita cinta tidak lagi mampu menceria, malah tidak lagi seperti mulanya, cinta itu tetap ada kerana kita cinta bukan pada tubuhnya tetapi pada jiwanya --

Macam abah. 

Dan cinta itu adalah menerima seadanya. Macam adik yang dulunya selalu berbalah dengan abah--lelaki, ego. Tapi bila abah sakit dialah yang mendukung abah ke sini sana. Semoga Allah balas syurga buatmu.

Terima kasih Tuhan, hikmahnya bila abah sakit, dapat kami adik beradik menuai pahala berbakti pada ibu bapa. 

Semoga cepat sembuh abah, i love you :) 

Cintalah pada yang sudi mencinta, jangan dikejar yang tak pasti sampai kita lupa siapa yang selalu di sisi. Kerana sifatnya manusia -- mereka pergi bila tak rasa dihargai. 

Hajat doa.

Salam cinta :)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .