Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, June 13, 2008

Islam atas dasar nama..

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk(Al-Baqarah:159)

Sesampainya di laut kukabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak kepada matahari
Tetapi semua diam tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit
Barangkali di sana jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Itu tanda Tuhan Murka melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa dosa

"Aiya saya manyak sedih" suara yang munculnya dari seorang wanita india yang melangkah ke dalam kelas tempat saya belajar menjahit benar-benar menarik perhatian saya. Saya melihat ke arahnya, melemparkan senyuman, namun tiada balasan. Hampa.

"Kenapa?" Tanya seorang amoi. "Saya baru lepas kena ragut, mahu masuk rumah, baru beli barang tiba-tiba kena ragut." wanita india itu mengeluh, lantas menyambung "Itu melayu byk jht laa" Saya tersentak. Suara wanita itu seolah-olah sengaja dikuatkan dan ditekankan. Saya membuat aksi selamba. Meneruskan jahitan.

"U dah buat report ke belum?" Amoi itu bertanya."Apa guna buat report,nnt itu polis tny cina ka india yg buat? saya nampak itu melayu laa" Jiwa saya goyah. Sungguh, saya seorang shj gadis melayu di situ dan merasakan seolah-olah semua kata-kata itu dilemparkan ke arah saya.

Saya tidak menyalahkan wanita india itu. Juga tidak menyalahkan amoi itu. Hakikatnya, saya tidak menuding jari ke arah orang lain, tetapi jari itu saya tudingkan ke arah diri saya sendiri, seorang yang berbangsa melayu dan beragama ISLAM. Ya, bagaimanakah seorang saya ini layak untuk menyalahkan orang lain sedangkan saudara-saudara seislam saya di Malaysia yang majoritinya berbangsa melayu itu tidak mengendahkan ajaran Islam,tidak menampakkan bagaimana ajaran Islam itu yang sebenarnya. Senarionya mudah,Islam itu damai, tetapi telah ditunjukkan bahawa Islam itu keganasan oleh ganster-gangster jalanan yang mempunyai 'bin' atau 'binti'' pada namanya. Islam itu adil dan bersih tetapi telah ditunjukkan bahawa Islam itu kotor oleh pihak-pihak yang terlibat dengan rasuah dan juga judi, baik yang nyata atau sembunyi seperti rancangan-rancangan menelefon untuk menjawab soalan dan yang nyatanya, pengacara rancangan itu adalah orang Melayu, orang Islam!

Saya tanya pada diri, siapakah yang sebenarnya yang mengkhianati ajaran Islam itu sendiri. Jawapannya jelas, orang Islam itu sendiri yang mengkhianatinya,disko,maksiat,aurat, batas pergaulan,semua sudah tidak dijaga, Al-Quran sekadar menjadi perhiasan dalam almari-almari kaca, juga menjadi perhiasan di dinding rumah-rumah mewah. Ajaran agama sudah tidak dipeduli tetapi dunia diagung-agungkan hingga kita lupa,dari siapa kita datang,pada siapa kita akan kembali. Lantas kenapa kita marah apabila orang-orang yang tidak seagama dengan kita mencerca kesucian Agama Islam, Agama Allah,sedangkan hakikatnya, kita juga bersekongkol dengan mereka. Kenapa kita perlu menjadi munafik sedangkan orang-orang munafik itu sungguh hina sekali...
Inilah Islam atas dasar nama. Islam yang hanya diwarisi daripada ibu bapa kita. Mungkin, itulah kita. Itulah kita yang sanggup menyakiti Rasulullah yang benar-benar mencintai kita, itulah kita yang tidak pernah mengenang jasa Rasulullah yang bersusah payah menyebarkan agama Islam, itulah kita, yang tidak pernah mengingati Rasulullah yang walaupun sedang wafat tetap terkenangkan umatnya, itulah kita yang setiap detik leka dengan dunia tanpa mengingati Rasulullah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan umatnya, itulah kita, yang terlalu sombong dengan Allah yang sentiasa rela mengampunkan kita, lantas, layakkah kita untuk mencerca insan lain atas kesilapan diri kita sendiri? Layak kah kita bergelar umat Islam andai suruhan pencipta kita,kita abaikan?Sedangkan kerja yang ditinggalkan juga bakal memberi kita risiko untuk dibuang kerja...Tidak pernah kah kita terfikir apa perasaan Rasulullah jika melihat umatnya kini...

Mungkin itulah hakikat diri kita, Islam atas dasar nama. Tapi, pengampunan Allah itu lebih besar dari dosa hambaNya. Maka, ingatlah, Islam itu mudah, namun bukan untuk dipermudahkan...

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.(Az-Zukhruf:76)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .