Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, September 5, 2009

Indahnya Hidayah Itu


“Allahu Akbar…. Allahu Akbar”

Laungan azan dari Masjid Al-Azhar,Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sedikit demi sedikit meresap ke dalam hati Firdaus, membuatkannya menunduk memandang bumi dan menitis air matanya satu persatu, gugur membasahi bumi..

“Firdaus, cepatlah. Dah azan tu” Laungan suara Hafiz mematikan lamunannya. Pantas tangannya mengesat air mata yang masih berbaki dan mencapai kopiah putih yang teletak di meja tulis.

“Jom”

***

“Kau nak buat apa masuk kolej Islam? Tak berkembang minda kau tu nanti” Puan Rohani mendengus.

“Tapi mama… Firdaus nak mendalami Islam” Firdaus cuba merayu. Cuti panjang selepas menduduki Peperiksaan Sijil Penilaian Menengah (SPM) telah membuka mata hatinya untuk lebih mendekati Islam. Laman-laman web berunsur keislaman yang dilayarinya sepanjang cuti membuat hatinya begitu tertarik dengan cara hidup Islam yang tidak pernah dikecapinya.

“Ma, boleh ya…”

Diam.

“Ma…” Firdaus melutut di hadapan Puan Rohani… Tangannya mengusap-usap lembut lengan mamanya.

“Boleh ya ma?”

“Hm, ikut suka kau lah” Akhirnya Puan Rohani mengalah.

“Thanks ma!” Firdaus melompat dan mencium kedua-dua pipi insan yang telah melahir dan membesarkannya.

***

“Firdaus” Hafiz memanggil sebaik sahaja zikir tamat dialunkan.

Firdaus memandang dan mengangkat kedua-dua keningnya.

“Hari ni Ustaz Zulqarnain lah bagi ceramah”

“Ya ke?”

“Ha ah”

Kedua-duanya tersenyum. Ustaz Zulqarnain memang terkenal dengan sikapnya yang suka membuat lawak. Setiap sesi ceramahnya pasti akan diselitkan dengan unsur-unsur jenaka yang pastinya tidak akan membuat para hadirin terlentok.

Fikiran Firdaus menerawang jauh. Masih segar dalam ingatannya ketika dia mula-mula menjejakkan kaki di KUIS, dia terpinga-pinga mendengar perkataan usrah, naqib, kuliah maghrib dan banyak lagi... Betapa jahilnya dirinya dahulu. Hafiz lah yang banyak mengajarnya dan bercerita mengenai Islam. Pernah sekali dia berasa bahawa dirinya tidak mungkin akan diterima oleh Allah lantaran terlalu banyak dosa yang pernah dilakukan, namun cepat-cepat Hafiz berkata ;

“Saidina Umar dulu pernah bunuh anak perempuan dia. Tapi Allah tetap terima dia, siap jadi sahabat nabi lagi.”


Firdaus tersenyum lagi. Indahnya berukhwah jika semuanya kerana Allah...

“Bismillahirrahmanirahim... Assalamualaikum anak-anak... Hari ni ustaz nak cerita mengenai tugas kita sebagai seorang khalifah di muka bumi ini..” Suara garau Ustaz Zulqarnain bergema ke seluruh pelosok masjid.

Para hadirin diam menanti bicara seterusnya..

***

“Kau nak jadi apa ni Firdaus? Aku rasa kolej kau tu ajaran sesatlah.. Baik kau keluar cepat-cepat”

Kecil hati Firdaus mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut ibu saudaranya itu. Benarlah, lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Adakah kerana dia memakai kopiah dan berjubah pada ketika itu sudah boleh di cop sebagai ajaran sesat?

Nafsunya memberontak agar membalas kembali kata-kata ibu saudaranya namun cepat-cepat pula dia beristighfar...

“Biarlah... Dugaan ni baru sedikit... Malu lah aku pada umat zaman dahulu yang ditimpa dengan dugaan yang lebih teruk daripada ni...”
bicara hati kecilnya, menangkis bisikan syaitan.

“Ha ni lah fikiran orang Islam ni, akhirat akhirat akhirat... Lepas tu jadi miskin papa kedana.. Hari tu aku dengar kau sibuk je berkempen Palestin tu, kau ni sibuk sangat pasal hal orang lain” Lantang mulut wanita itu berkata-kata.

Firdaus menarik nafas dalam-dalam.

“Mak Ngah ade nampak pointer Firdaus kurang 3.5 ke? Bukankah semua orang Islam itu bersaudara? Kalau saudara sendiri tak mahu menolong, nak harapkan siapa lagi?” Firdaus menjawab tenang. Intonasi suaranya cuba dikawal agar tidak meninggi.

Ibu saudaranya terdiam seketika “Kau ingat, kau beribadat macam ni dah confirm masuk syurga ke?”

Firdaus tersentak. Sampai begitu sekali ibu saudaranya menyerang. Dia beristighfar seketika untuk memadamkan api kemarahan yang kian merebak di lubuk hatinya.

“Memang tak confirm, kalau beribadat pun tak confirm masuk syurga, apatah lagi kalau tak beribadat” Titik. Dia tidak mahu lagi meneruskan perbalahan itu. Firdaus melangkah pergi ke bilik air untuk mengambil wudhu dan menyingkirkan rasa amarah yang mula berputik kembali..

“Astarghfirullahalazim...ya Allah Kau berilah aku kekuatan untuk menempuh hari-hari yang mendatang” Firdaus meraup wajahnya..

***

“Ada orang tu jumpa saya lepas tu dia cakap.. ustaz! Ustaz dah menjatuhkan air muka saya... Saya pun balas balik.. La.. kalau jatuh, kutip angkat lah balik...”

Kedengaran tawa para hadirin yang terkesan dengan jenaka itu. Firdaus dan Hafiz juga tidak ketinggalan.

“Kamu semua nak tahu tak, saya ni handsome.”

Para hadirin ketawa lagi.

“Sekurang-kurangnya lebih handsome lah daripada benda ni” Ustaz Zulqarnain menunjuk kepada microphone yang dipegangnya.

“Tapi saya ada orang sayang... Isteri kat rumah.. Kamu semua ni belum tentu lagi” Ustaz Zulqarnain menjeling sambil mencebik.

“Saya minta maaf lah ya... Tapi saya ni memang suka bergurau.” Ustaz Zulqarnain diam sebentar.. Kelihatan dia menarik nafasnya dalam-dalam. Seolah-olah cuba untuk mencari satu kekuatan untuk bicara seterusnya... Kelihatan bibirnya bergerak-gerak mengalunkan zikrullah.

Suasana yang gamat dengan gelak- ketawa para hadirin menjadi hening sebentar. Semua ternanti-nanti bait kata yang akan keluar daripada mulut insan yang dikagumi itu.

“Semenjak dua menjak ni... Ustaz sedih sangat-sangat. Maksiat ada di mana-mana, ustaz tengok kanan ada orang dating, tengok kiri ada perempuan tak tutup aurat. Tengok depan ada pula orang dating dan perempuan tak tutup aurat. Sampai ustaz rasa tak mahu keluar rumah. Tapi tak boleh... Ustaz macam kamu juga, ada tanggungjawab yang sama iaitu sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.”
Ustaz Zulqarnain menghela nafas berat.

“Selemah-lemah iman itu adalah menegur dengan hati. Ustaz percaya ramai dalam kalangan kita ni hanya mampu melihat maksiat dengan pandangan mata yang hambar... Jika menegur sekali pun, cepat benar rasa terguris kerana dijerkah balik. Mungkin kita lupa kisah perjuangan Rasulullah yang dicaci, dihina, dibaling dengan najis bahkan pernah ada cubaan membunuh baginda. Seorang pendakwah haruslah bersabar kerana memang pokok sabar itu pahit tetapi buahnya manis”

***

“Papa, orang lelaki tak boleh pakai cincin emas” Firdaus bersuara lembut ketika melihat papa nya memakai cincin emas di jari manisnya.

Bulat mata Encik Rozaimi memandang Firdaus. “Kenapa tak boleh pulak?”

“Rasulullah tak bagi” Ringkas Firdaus menjawab. Dalam hatinya timbul rasa gerun melihat wajah bengis ayahnya.

“Kenapa tak bagi?”

“Ustaz pernah cakap Rasulullah s.a.w pernah...”

“Ah, tu zaman dahulu!” Tidak sempat Firdaus menghabiskan ayatnya, Encik Rozaimi telah memotong percakapannya terlebih dahulu dan berlalu meninggalkannya keseorangan menahan pedih di hati.

Firdaus masih ingat mengenai satu hadith yang dikemukakan oleh ustaznya pada hari pembentangan kertas kerja jabatan hadith;

Ali bin Abu Talib r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Kedua ini haram buat orang laki-laki dari umatku." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Tetapi Ibnu Majah menambah:

"halal buat orang-orang perempuan."

Satu nafas berat dilepaskan oleh Firdaus. Tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini bahawa begini susahnya untuk berdakwah dengan keluarga sendiri. Bagaikan terbayang-bayang di matanya bagaimana seksanya Rasulullah untuk berdakwah dahulu. Pasti lebih perit daripada apa yang dirasainya.

“Allah... Kau berilah hidayah kepada ahli keluargaku... Jangan kau biarkan peristiwa Abu Talib berulang lagi...” Firdaus menangis semahunya. Dia tidak tahu mengapa kebelakangan ini murah benar nilai air mata lelakinya. Senang benar untuk tumpah. Apatah lagi membayangkan peristiwa Abu Talib yang mati dalam kekufuran sedang Rasulullah s.a.w amat menyayanginya...

***

“Segala puji milik Allah.. Suka ustaz nak mengingatkan bahawa Allah itu Maha penerima taubat, Allah itu Maha penyayang , Maha Penyabar sehingga Rasulullah sendiri pernah bersabda yang bermaksud tidak ada seorang pun yang lebih sabar daripada Allah… Oleh itu, andai kita ada berbuat dosa, jangan pernah takut untuk meminta maaf dan bencilah, bencilah untuk kembali melakukan kesilapan silam, bencilah untuk kembali kepada kekafiran… insya-Allah.. Islam memerlukan kamu, para remaja untuk terus bangkit dan menegakkan kembali syiar Islam… Baiklah dah nak isyak ni, kita tutup majlis dengan tasbih kafarah dan surah al-asr”

Di satu sudut masjid Al-Azhar yang tersergam indah, kelihatan Firdaus sedang merenung jauh...

“Ya Allah, adakah doa dan sabar aku selama ini Engkau terima atau adakah Engkau campak kembali lantaran hati yang ternoda dek maksiat dan perbuatan keji”


Rasa bergetar di poket baju Melayu yang dipakainya menyebabkan Firdaus memberi tindak balas dengan menyeluk tangannya ke dalam poket dan mengeluarkan handphone Sony Ericsson W910i nya. Tertera nama ‘mama’ di kaca skrin telefon bimbit itu.

“Hafiz, aku keluar sekejap. Mama aku telefon.”

“Okay”

Firdaus senyum dan cepat-cepat mengangkat punggung dan mengatur langkah keluar dari masjid Al-Azhar. Butang hijau ditekan dan...

“Assalamualaikum ma..”

“Er, waalaikumsalam... Firdaus tengah buat apa?” Kedengaran suara halus Puan Rohani dari corong telefon.

“Oh, Firdaus kat masjid ni ma... Tunggu isyak... Mama sihat?”

“Sihat, alhamdulillah”

Firdaus tergamam.

“Mama sebut Alhamdulillah?”
Hati kecilnya tertanya-tanya. Terasa seperti sedang bermimpi. Bagaikan ingin luruh jantungnya mendengar kalimah itu keluar daripada mulut Puan Rohani. Serta-merta bibirnya terkunci.

“Firdaus?”

Suara Puan Rohani mematikan lamunnya. “Er, ya, ya ma... Firdaus ada ni”

“Kamu tak sihat ke?” Kedengaran risau suara itu bertanya.

“Eh, taklah ma.. Firdaus sihat,alhamdulillah. Ma cakap apa tadi ya?”

“Ma dengan pa nak datang esok. Kamu ada nak pergi mana-mana ke?”

“Oh, tak ada ma, insya-Allah. Nanti ma dah sampai ma telefon ya?”

‘Allahu Akbar...Allahu Akbar’ Suara laungan azan itu membuatkan Firdaus terdiam sebentar.

“Er, ma... Dah azan ni, kita jumpa esok ya ma?”

“Ya lah, jaga diri baik-baik”

“ Insya-Allah. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam”

Firdaus menekan butang merah. Dia terkaku di situ. Hatinya sedikit lega apabila mendengar Puan Rohani mengungkapkan kalimah alhamdulillah sebentar tadi. Tiba-tiba rasa rindu yang teramat sangat kepada Puan Rohani dan Encik Rozaimi menyelinap masuk ke dalam hatinya...

“Ma, Pa, esok kita jumpa ya....” Firdaus tersenyum kecil dan melangkah masuk ke dalam masjid.

***

Firdaus mundar-mandir di tempat meletak kereta.

“Mana mama dengan papa ni.. Tadi kata dah sampai”
Sekejap-sekejap Firdaus membetulkan kopiahnya. Mahu sahaja tengkuknya dipanjangkan agar senang melihat sekeliling.

“Assalamualaikum” Kedengaran satu suara garau memberi salam dari arah belakang. Firdaus menoleh. Bagaikan ingin terkeluar biji matanya melihat sebatang tubuh di hadapannya. Seorang lelaki yang lengkap berjubah dan berkopiah tersenyum manis memandang ke arahnya..

“Firdaus? Dah tak kenal papa?”

Firdaus tersedar daripada lamunan. Kakinya pantas diatur menuju ke arah Encik Rozaimi. Tubuh tua papanya dipeluk erat. Bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi..

“Firdaus, papa dah tak pakai cincin emas.”

Firdaus mengangguk.

“Peluk papa sampai tak perasan mama ya?” Firdaus mengangkat kepala yang enak berlabuh di bahu Encik Rozaimi dan mencari-cari pemilik suara yang amat dirinduinya itu.

Firdaus tergamam lagi. Bagaikan tidak percaya mama memakai objek itu untuk menutup auratnya.

“Ya Allah....” Hati kecil Firdaus menangis dengan kurniaan Allah itu.... Tangannya di depa kan dan mendakap Puan Rohani seerat mungkin.

“Cantik tak mama pakai tudung?” Puan Rohani cuba mengawal emosinya yang bergelora.

“Cantik ma... Firdaus sayang mama dan papa...” Akhirnya Firdaus mengalah. Air mata lelakinya gugur jua membasahi bahu Puan Rohani. Tetapi kali ini air mata itu gugur kerana gembira.Doanya dikabulkan Allah...Suara Hafiz terngiang-ngiang di telinganya.

Kau tau tak senjata orang mukmin itu adalah doa. Jangan berputus asa dengan Allah.


Firdaus memandang langit.

“Ya Allah.... Indahnya Hidayah-Mu....”


2 comments:

nik mujahid said...

Subhanallah..cerpen ni sgt bagus.. Indahnya hidayahMu itu..

Mastura Mohd Yusuf said...

:) Jazakallah

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .