Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, June 8, 2010

Dirimu Amanahku


“Aiman!!! Balik! Kau nak jadi apa ni? Balik lewat, belajar malas. Dah besar nanti kau nak jadi tukang sapu sampah?!” Bulat mata Encik Ramli memandang gelagat anak bongsunya yang berlari terkedek-kedek ke arah rumah pada pukul 7 malam.

“Menyusahkan!!”

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu masuk ke rumah dengan hati yang bungkam. Batinnya menjerit minta difahami. Bukannya dia sengaja tidak mahu membaca buku. Tetapi mindanya tidak boleh fokus terhadap pelajaran. Dia tidak tahu mengapa.

Tiba-tiba wajah arwah ibunya bermain-main di birai mata. Hanya wanita itu yang selalu membelanya. Tapi semenjak setahun yang lalu, selepas ibunya meninggal dunia akibat barah payu dara, Aiman keseorangan tidak terbela.

Ibu… Aiman rindu ibu…
‘Kau nak jadi tukang sapu sampah?!!” Terngiang-ngiang suara itu di dalam fikirannya.

‘Kau nak jadi tukang sapu sampah?!!’

“Tak nak!!!” Tiba-tiba Aiman menjerit.

“Aiman!! Kau buat apa lagi tu? Kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke?”

Aiman diam.

* * *

“Abi….” Mujahid melabuhkan punggung di sebelah Encik Sufyan yang sedang ralit membelek akhbar.

“Ya sayang..” Encik Sufyan mula menutup akhbar di tangan dan mengusap lembut rambut anaknya yang berusia 12 tahun itu.

“Abi, tak baik kan ayah Aiman selalu marah Aiman?”

“Mujahid, tak baik mengumpat” Kedengaran tegas suara Encik Sufyan menasihati.
Terkebil-kebil mata Mujahid memandang wajah Encik Sufyan yang tenang. Dia faham benar bahawa ayahnya tidak suka dia melakukan perkara-perkara yang Allah tidak suka.Dia tahu.

“Tapi abi… Mujahid kesian tengok Aiman selalu sorang-sorang kat taman.”

“Hm? Mujahid tak kawan dengan dia ke?”

“Dah cuba tegur dia tapi dia tak layan lah abi…”

Mujahid tunduk memandang lantai. Masih segar di ingatannya wajah jiran sebelah rumahnya itu yang menolak untuk bersalaman dengannya. Bahkan Aiman seringkali kelihatan bercakap seorang diri.

“Mujahid, solat pun kita wajib lakukan hari-hari untuk kebaikan fizikal dan rohani kita. Tak kan untuk berukhwah cukup kita mencuba sekali sahaja?”

Angguk.

“Abi, Aiman sakit ke? Mujahid tengok dia bercakap sorang-sorang.”

“Mungkin.”

“Sakit apa?”

“Skizofrenia”

“Ha? Apa tu abi?”

Berkerut-kerut dahi Mujahid mendengar satu perkataan pelik tu, bagaikan ingin tercantum kedua-dua kening miliknya.

Encik Sufyan tergelak kecil melihat gelagat anaknya. Kerjayanya sebagai seorang ahli psikologi memungkinkan kenyataannya sebentar tadi. Aiman menghidap penyakit skizofrenia, satu penyakit yang berpunca daripada budaya, faktor biologi atau faktor sosial yang mana menyebabkan individu itu hilang daya tumpuan, mendengar gemaan suara dalam fikirannya bahkan mungkin akan kerap bercakap seorang diri.

“Abi?”

Lamunan Encik Sufyan terhenti.

“Er, ya?”

“Apa abi cakap tu tadi?”

“Erm, tak ada apa-apa. Mujahid, kenapa abi bau busuk je ni ya?”

Sengih.

“Ala, yelah… Nak pergi mandi lah ni”

Pantas kakinya dihayun menuju ke bilik air.

* * *

‘Pang!’

Satu tamparan hinggap di wajah kecil milik Aiman. Perit.

“Kau asyik gagal periksa aje! Buat malu aku! Kau nak sekolah ke tak nak ni?”

Membara api kemarahan Encik Ramli melihat keputusan Aiman yang teruk.

“Nak…”

“Nak?! Kalau nak kenapa keputusan teruk macam ni? Ha?! Aku suruh belajar tak nak belajar, asyik main je… Belajar sikit, main banyak. Kau asyik menghabiskan duit aku je. Kau dah hidup senang macam sekarang ni pun kau malas lagi. Kau tau tak dulu aku hidup susah… Boleh je berjaya!”

“Zaman ayah lain…” Entah bagaimana suara Aiman terkeluar. Aiman terkesima.
Wajah Encik Ramli memerah. Rotan di sebelah dicapai dan..

‘Zapp’

Satu libasan mengenai badan Aiman.

“Kau menjawab aku cakap!”

Satu libasan lagi mengenai wajah Aiman.

“Ayah.. sakit ayah… sakit…”

Deras air mata kanak-kanak berusia 12 tahun itu mengalir membasahi pipi.

‘Zapp!’

“Ayahhhhh… sakittt….”

Namun Encik Ramli tidak terkesan dengan rayuan Aiman. Libasan-demi libasan mengenai badan kecil Aiman sehingga dia berasa puas.

* * *

Aiman berjalan terjengket-jengket. Bisa libasan rotan di seluruh badannya masih terasa. Minyak gamat yang terdapat di dalam laci biliknya di capai dan di sapu pada luka-luka yang ada. Sakit.

Ibu… Aiman rindu ibu….


Air mata itu mengalir lagi….

‘Kau ni tak guna… tak guna…’

Suara itu bergema lagi di dalam fikiran Aiman. Aiman rimas.

‘Kau anak tak guna… Memalukan… Kau tak guna…’
Aiman menarik rambutnya.

‘Kau tak guna… tak guna….’

“DIAMMMM!!!!”

* * *

“Assalamualaikum…” Mujahid menghampiri Aiman yang sedang bermain pasir berseorangan di taman permainan.

Diam.

“Assalamualaikum…” Mujahid menghulurkan tangan.

Sepi.

“Awak nak tahu tak kenapa Allah ciptakan jari-jari kita ni berbeza saiznya. Ada yang kecil, ada yang besar?” Mujahid menggerak-gerakkan jarinya.

“Kenapa?” Wajah Aiman berkerut menanti jawapan.

Mujahid senyum. Umpannya mengena.

“Hm… Supaya jari-jari ni boleh tolong-menolong. Cuba bayangkan kalau satu jari kita ni tak ada, mesti agak susah kan kita nak buat kerja?”

Angguk.

“Macam tu jugalah saya dengan awak.”

“Ha?” Aiman terkejut.

Apa kena-mengena aku dan dia dengan jari.


Mujahid tergelak kecil melihat wajah Aiman yang kelihatan bingung. “Betul lah, Allah ciptakan manusia dan arahkan untuk saling menolong kan? Kalau awak susah, saya tolong. Kalau saya susah awak tolong. Betul kan?”

Angguk.

“Saya kena balik.” Tiba-tiba Aiman bersuara.

“Kenapa?”

“Nanti ayah marah.”

Mujahid angguk dan Aiman mula mengatur langkah untuk pulang.

“Aiman!” Mujahid memanggil. Aiman menoleh ke arahnya.

Mujahid menghampiri Aiman yang sudah menjauh beberapa langkah daripadanya. Tangan dihulur. Aiman senyum dan huluran tangan itu disambut.

“Jumpa esok…”

* * *

“Mujahid, kenapa kawan-kawan kat sekolah selalu cakap saya gila?” Aiman duduk di bangku yang disediakan di taman permainan sambil menggoyang-goyangkan kakinya yang kecil. Angin yang bertiup pada senja itu menyapu wajahnya yang bersih.

Mujahid diam. Wajah Aiman disebelahnya ditatap lama. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

“Mereka tak tahu, mereka tak kenal Aiman. Mereka tak tahu Allah sayang Aiman…Aiman berdendam ke dengan kawan-kawan Aiman?”

Angguk.

“Aiman, Allah tahu perkara yang sebenarnya, memaafkan itu merupakan ubat yang paling berkesan untuk merawat hati yang luka.”

Aiman mengangkat kedua-dua keningnya. Tidak faham.

Mujahid senyum. “Begini, kalau kita tak memaafkan orang lain, kita akan sentiasa terfikir dan membuat hati kita semakin sakit bahkan mungkin melihat wajah insan yang menyakitkan hati kita tu sudah cukup untuk menambah luka di hati. Tapi andai kita sudah memaafkan, hati kita mesti jadi lebih tenang dan mampu memberi senyuman yang benar-benar manis...”

Diam.

“Aiman”

“Ya”

“Masih berdendam dengan kawan-kawan awak?”

Geleng.

Mujahid senyum. “Ha, macam ni lah...”

“AIMAN!!!”

Suara Encik Ramli lantang memotong percakapan Mujahid. Serentak, Mujahid dan Aiman menoleh ke belakang. Kelihatan wajah merah Encik Ramli memandang tajam ke arah Aiman. Mujahid dan Aiman mula menggeletar apabila melihat Encik Ramli mengatur langkah menuju ke arah mereka.

‘PANG!’

Satu tamparan hinggap lagi di wajah bersih milik Aiman. Mujahid terkedu. Seumur hidupnya, Encik Sufyan tidak pernah berkasar dengannya. Matanya mula terasa berat dek takungan air kerana melihat Aiman yang membisu menahan kesakitan.
Encik Ramli mematahkan ranting pokok yang bersebelahan dengannya dan tangannya mula melibas kaki Aiman.

“Ni kaki yang degil, tak dengar cakap aku kata jangan balik lambat”

“Tolong ayah.. sakit..”

Rintihan Aiman membuatkan jiwanya memberontak. Kakinya dihayun selaju mungkin menuju ke rumah.

***

“Abi... Abi...” Mujahid memanggil sambil mencari-cari kelibat Encik Sufyan.

“Abi kat belakang ni”

Mujahid lantas mengatur langkah menuju ke stor. Kelihatan Encik Sufyan sedang meletakkan periuk belanga di dalam almari kayu dengan cermat.

“Abi”

“Ya”

“Mari ikut Mujahid”

“Abi banyak kerja ni sa..”

Mujahid menarik tangan Encik Sufyan. Dalam keterpaksaan, Encik Sufyan menurut langkah Mujahid menuju ke taman permainan.

“Astarghfirullahalzim” Terbeliak mata Encik Sufyan melihat Encik Ramli sedang memukul Aiman dengan teruk sekali. Jiran-jiran yang lain hanya mampu melihat dari sebalik jendela rumah kerana takut dengan Encik Ramli yang terkenal dengan sikap panas barannya. Encik Sufyan mengurut dada seraya berzikir.

“Ramli.. dah Ramli... mengucap” Tangan Encik Ramli dipegang bagi mengelakkan ranting kayu itu hinggap di kaki Aiman lagi.. Mujahid menarik Aiman jauh dari situ. Air matanya tumpah jua melihat kaki Aiman yang berbirat-birat.

“Kau tepi! Kau anak-beranak jangan nak menyibuk pasal aku” Mata merah Encik Ramli memandang Encik Sufyan dan Mujahid bagaikan hendak ditelannya.

“Sudah Ramli, mengucap.. jangan biar syaitan memperngaruhi kau”

“Ah! Kau diam! Kau apa tahu? Kalau kau nak sangat budak ni, kau ambiklah! Aku dah tak larat nak bela dia lagi!” Encik Ramli menunjuk ke arah Aiman sambil mulutnya tidak berhenti-henti mengeluarkan kata-kata kesat.

“Mengucap Ramli, mengucap”

Encik Sufyan cuba mengusap belakang Encik Ramli namun Encik Ramli lebih pantas menolak tubuh Encik Sufyan ke belakang.

“Ptuih” Encik Ramli meludah dan berlalu meninggalkan mereka.

“Abi...” Mujahid memanggil.

Encik Sufyan menoleh. Bergetar jiwa seorang ayah yang dimilikinya apabila melihat Aiman terbaring lemah, mengerang kesakitan sambil air mata tidak berhenti mengalir daripada sepasang mata sayu miliknya.

“Aiman, mari balik...” Encik Sufyan mengajak lembut

“Pak Cik...”

“Ya Aiman”

“Kaki Aiman sakit... Tak boleh bangun...”

Allah! Encik Sufyan beristighfar di dalam hati. Mindanya tidak tercapai untuk memikirkan kesakitan yang ditanggung oleh Aiman.

“Pak Cik dukung Aiman ya?”

Angguk.

Encik Sufyan pantas mengangkat Aiman dan menuju ke rumahnya diikuti oleh Mujahid.

* * *

Encik Sufyan duduk di kaki lima rumahnya sambil menunggu kepulangan jirannya, Encik Ramli. Ada perkara penting yang harus disampaikan. Sudah 3 hari Aiman demam dan kini telah ditempatkan di hospital, namun apa yang menyedihkan adalah...

‘vroom’

Deruman kereta Encik Ramli memasuki perkarangan rumahnya mematikan lamunan Encik Sufyan. Encik Sufyan bingkas berdiri dan menanti Encik Ramli keluar dari keretanya.

“Ramli”

Encik Ramli menoleh sekilas dan meneruskan langkahnya untuk membuka pintu rumah. Panggilan daripada Encik Sufyan diabaikan.

“Ramli.. Aiman..”

Encik Ramli menoleh. Nama itu kerap kali bermain di mindanya. Rindu dan sayang bercampur aduk membuatkan dirinya semakin tidak keruan dari hari ke hari. Namun ego membatasi segalanya.

“Kenapa dengan Aiman?” Pantas, dia bersuara.

“Aiman dah 3 hari dia demam tak baik-baik... Aku risau tengok kaki dia mula membiru,aku bawa dia pergi hospital... Dan..”

“Dan apa?”

“Kakinya terpaksa dipotong akibat kecederaan yang teruk. Doktor perlukan persetujuan kau”

Encik Ramli terduduk. Tangannya diraup ke muka. Seribu penyesalan menyentap tangkai hatinya..

Allah.. apa yang telah aku lakukan...


“Sufyan...” Lemah suara itu memanggil

“Ya”

“Bawa aku melawat Aiman....”

* * *

Encik Ramli tidak senang duduk menunggu proses pemotongan kaki Aiman. Dia mundar-mandir, fikirannya berserabut mengenangkan masa hadapan anaknya yang satu itu. Penyesalan demi penyesalan menerjah kotak hatinya membuatkan fikirannya benar-benar berserabut.

“Sufyan”

Encik Sufyan yang sedang duduk di hadapan bilik pembedahan memandang wajah Encik Ramli yang kusut.

“Aku... Aku minta maaf”

Encik Sufyan bangun dan menggosok-gosok belakang Encik Ramli.

“Yang sudah tu sudahlah...”

“Terima kasih... terima kasih banyak-banyak” Encik Ramli memeluk erat tubuh Encik Sufyan dan air mata lelakinya gugur lagi...

* * *

Aiman tersenyum melihat ayahnya memasuki bilik wad di mana dia ditempatkan. Segala perlakuan buruk Encik Ramli terhadap dirinya telah pun dilupakan. Aiman nekad tidak mahu berdendam.

“Ayah....”

“Ya, ayah datang ni.. Aiman rasa okey dah sekarang?”

Angguk.

“Ayah baru balik kerja?”

“Tak. Ayah cuti hari ni... Ayah nak jaga Aiman”

“Terima kasih ayah”

Senyum.

“Ayah..”

“Ya sayang”

Tangan Encik Ramli ligat memotong buah-buahan yang dibawanya.

“Aiman minta maaf... Ayah pulangkanlah kaki Aiman balik. Aiman janji tak nakal-nakal lagi... Aiman janji tak balik lambat... Ayah pulangkan ya? Nanti macam mana Aiman nak pergi taman, pergi sekolah..”

Encik Ramli kaku. Tangannya terhenti daripada terus memotong buah. Tubuh Aiman dirangkul dan dipeluknya erat..

Ya Allah... Maafkan aku kerana telah mengabaikan amanah ini...


“Maafkan ayah”

Dan air matanya gugur lagi... Setitik demi setitik jatuh ke bumi....

1 comment:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .