Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, October 12, 2010

Dariku Untukmu..



Allah... Di mana rasa itu hilang...

Adakah di sebalik langit membiru..

Atau mungkin di bawah lautan luas terbentang..

Di mana ruh itu pergi...

Hingga hilang rasa cinta di hati...

Hajat Doa Kalian

Allah benar-benar sedang menguji ana, mencubit ana dengan kasih sayangNya yang hakiki. Allah sedang mendidik hati ana agar bersifat tawadhuk dan istiqamah.

Allah... terkadang ana rasa tidak kuat untuk menghadapinya... Melihat blog dengan pandangan hambar. Tiada lagi nafsu yang membuak untuk menaip memberi pesan. Ah, melihat tarikh last di'update' benar-benar menyesakkan nafas. Di manakah rasa cinta yang membara? Apakah kian malap dek kesibukan dunia yang sementara? Atau masih terus berduka melihat ummah yang seolah tidak mahu diselamatkan..

Kasihan pada kamu yang sedang mencari beberapa patah perkataan untuk menjadi penguat hati. Allah, ana berdosa kerana mengabaikan peranan. Ampunkanlah ana saudaraku sekalian. Ana terlalu disibukkan dengan dunia sehingga ana kekeringan idea untuk menaip apa.

Rasa bersalah mengaburi diri melihat blog yang seolah-olah bersawang dan berhabuk. Lantas ana bangkit, beralih dari laptop. Cuba pula melakukan aktiviti lain, tapi rasa bersalah itu tetap tidak hilang. Justeru catatan pendek ini ana karang buat kalian yang sedang mencari... Khususnya buat kalian yang bernama wanita... Kerna ana, juga adalah seorang wanita, yang punya hati iras kalian..

Wanita... Di Mana Malumu?

"Wooooo..." Jeritan membingitkan itu menerjah ke gegendang telinga ana.

Ana menoleh sekilas. Beberapa orang wanita sedang terlonjak-lonjak kegirangan melihat pertunjukan sebentar tadi.

Yang lelaki, majoritinya hanya berdiam diri. Yang wanita majoritinya menonjol diri.

Sejenak, ana terpana... Apakah dunia sudah semakin terbalik? Wanita berseluar pendek. Lelaki berseluar panjang.

Ah, pening memikirkannya.

"Inilah aset" Kata mereka dengan megahnya. Menonjol diri tak pernah lupa, mengharapkan perhatian dari duniawi, sedang hati terlupa mengingati Ilahi..

Oh. Aset. Benar, aurat itu semuanya aset. Aset terbaik yang dikurniakan Allah, justeru itu ia harus ditutup dan disembunyikan dari pandangan yang bukan hak kerna di mana nilainya andai aset itu telah dipertonton kepada khalayak.

Tiada nilai. Umpama barang yang tidak berharga.

Ingatlah, malu itu sebahagian daripada iman. Jika malu itu sudah tidak lagi dirasa, maka itu bermakna hilanglah iman di dalam hati. Apa ertinya hidup andai tiada iman di hati. Apa ertinya hidup bila Allah tiada lagi di sisi?

Wanita...Mutiara Yang Terpelihara

"Kalau kami tak berpakaian dan berperangai begini, nanti tak ada lelaki yang mahu kan kami!"

Duhai wanitaku sayang... Duhai saudaraku yang dirahmati Allah sentiasa...

Percayalah kata-kataku ini sayang..

Sejahat mana pun lelaki itu, dia pasti mahukan wanita yang baik sebagai pendamping hidupnya. Itu fitrahnya manusia. Sentiasa mahukan yang terbaik.

Jodoh itu ketentuan Allah... Percayalah setiap manusia punya jodoh tersendiri. Jika tidak mendapatnya di dunia, Allah telah menetapkan jodoh yang lebih baik di akhirat sana...

"Kami mahu usaha!"

Usahalah untuk mendapatkan jodoh..tapi bukan dengan merendahkan martabat diri. Sewenang-wenangnya kamu ke hulu ke hilir bersama teman lelaki, bercakap berhu-ha, terkinja-kinja bukanlah satu usaha untuk mendapatkan jodoh, tetapi ia adalah usaha untuk menjatuhkan martabat diri. Memijak-mijak maruah malah meludah nama Islam yang kita sayangi.

Renungilah kisah buah epal yang letaknya di tempat tertinggi di atas pokok. Epal itu berasa sedih kerana tidak lagi dipetik sedangkan ia tidak tahu bahawa ramai yang mahu memetiknya tetapi tidak cukup hebat lagi untuk mencapainya,lalu epal itu menggugurkan dirinya ke tanah hingga tidak lagi dipandang tinggi dan dikagumi mata-mata yang memandang. Ia menjadi sama sahaja dengan epal-epal yang lain yang tidah dihargai...

Mawar Berduri

Cantik bukan sekuntum mawar yang berduri? Di pagari duri-duri. Tiada kumbang yang berani mendekati kecuali seekor sahaja yang benar-benar hebat untuk menjadi penawar kepada duri yang berbisa...


Jadilah seperti mawar itu, kembang mekar mengharumi dunia dengan akhlak dan iman yang jitu..

Abaikan penjajahan minda bahawa menjadi seperti mawar yang berduri adalah kolot dan ketinggalan zaman. Tidak! Jangan sesekali percaya dengan kenyataan itu! Islam tidak pernah kolot dan ketinggalan zaman. Islam sentiasa mengajar umatnya agar memiliki harga diri yang tinggi.

Jangan bimbang dipanggil asing...

Berbahagialah dengan sabda baginda ;


Islam itu datang dalam keadaan asing, dan akan kembali asing di akhir zaman. berbahagialah mereka yang asing itu


Berbahagialah menjadi orang yang asing, kerna di sebalik kekurangan dunia itu.. Allah memandangmu dengan kasih di 'sana'.

Wanita.... Pagari dirimu dengan rasa malu yang menggunung tinggi. Bentengi dirimu dengan malu yang bertempat. Hiasi dirimu dengan sifat malu yang cantik.

Malulah untuk bersosial.
Malulah untuk berpeleseran bersama yang bukan mahram.
Malulah untuk menjerit-jerit.
Malulah.... yang memagari dirimu dari kejahatan dunia.

Karangan ini, ana tujukan padamu atas dasar kasih... Moga ALlah juga mengasihi dirimu... Ana hajat doa yang terbaik dari kalian, atas dasar kasih kerana ALlah...

Wallahu'alam.

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .