Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, May 16, 2012

Dik, Akak Juga Pernah Merasa.



"Ish, boringnya. semua tak boleh. Itu tak boleh, ini tak boleh."

"Apa ni mak? Nak keluar dengan kawan pun tak boleh?"

"Ish, janganlah asyik telefon je. Orang tahulah nak balik."

Terkadang, apabila terdengar rungutan-rungutan sebegitu lahir dari mulut para remaja harapan Ummah itu, saya tersenyum.
Laju jari hendak menaip, khusus buat adik-adik belasan tahun yang rasa ingin tahunya sedang memuncak tinggi.

Khusus buatmu adik-adikku yang disayangi kerana Allah.

Dik, jika hari ini dikau merungut panjang, menarik muncung, dalam hati memprotes tindakan ibu bapa yang seperti tidak memahami gelodak jiwa remaja...

Dik, jika hari ini dikau memberontak, terfikir-fikir kenapa ibu bapa tidak melepaskanmu bebas,

Ketahuilah akak juga pernah merasa begitu. Malah mungkin lebih teruk lagi.

Dik, mahu tidak akak khabarkanmu satu perkara? Mahu tidak kamu dengarinya dik?

Adikku sayang...

Ibu mana yang tidak sayangkan anak yang dikandungnya selama 9 bulan 10 hari? Bapa mana yang tidak mengasihi anaknya yang dijaga semenjak kecil? Ketika dirimu masih bayi dan dikau jatuh sakit, tahukah dikau dik, ibumu bersengkang mata menjagamu siang malam dan bapamu selalu saja khuatir, bertanya kepada ibu bagaimanakah keadaanmu? perlukah dihantar ke hospital?

Semasa engkau menginjak dewasa, ibu dan bapamu melihat sekeliling. Jenayah merata-rata. Lantas ibumu gusar, bapamu risau. Bimbang jika dirimu disakiti. Bimbang jika dirimu kelak jauh hanyut di bawa arus duniawi, Kerana bukan itu yang ibu dan bapamu harapkan. Mereka mahu dikau membesar dengan elok. Mereka mahu itu.

Adikku yang dirahmati Allah...

Akak juga punya adik yang seusia denganmu... Ketahuilah dik, sewaktu dia keluar, hati akak begitu risau. Pukul berapa dia mahu balik, elokkah rakan-rakannya, ke mana kakinya melangkah... Semuanya berkumpul menjadi satu. Itu baru sahaja rasa risau seorang kakak kepada adiknya... Ibu dan bapa tentulah lebih lagi.

Dik,

Sewaktu akak seusia denganmu, tidak pernah akak keluar berpeleseran bersama rakan-rakan. Ibu dan bapa akak mengawal dengan begitu ketat dan akak juga sepertimu, marah, memberontak dan tertanya-tanya kenapa. Tapi ketahuilah... apabila dikau semakin dewasa dan ibu bapamu yakin dikau mampu menjaga diri, saat itu kebebasan akan diberi sedikit demi sedikit.

Pernahkah dikau melihat seekor anak burung dik?

Mulanya anak burung hanya tinggal di sarang. Ibunya berulang-aling mencari makanan, menyuapkan ke mulut. Ibunya mengajarnya terbang sehari demi sehari dan apabila sayapnya sudah mampu digunakan sebaiknya, saat itulah ibunya melepaskannya bebas, kerana anak burung itu sudah pandai menjaga diri.

Dik, simpanlah sayapmu sebentar, ia belum cukup kuat. Kuatkanlah dengan iman dan taqwa, supaya suatu hari nanti ibu bapamu mampu melepaskanmu dengan senang hati, mengetahui bahawa anaknya ini sudah kuat mampu menempuh arus duniawi yang semakin mencabar di luar sana...

Adikku yang Allah cinta,

Jangan marah-marah lagi. Berfikirlah secara positif. Ketahuilah dik, satu hari kelak..Apabila dikau sibuk menimba ilmu, sibuk menempa kejayaan, sibuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan dikau melihat ummah yang semakin parah, dikau melihat maksiat berleluasa... Dikau akan berkata. "Alhamdulillah. mujurlah dahulu ibu bapaku mengawal ketat pergerakanku!"

Dik, sudahlah dik.. jangan menangis lagi. Lukamu, kecewamu, rasa hatimu akak memahami... Kerana akak juga pernah merasa.

Senyumlah dik. Hakikatnya Allah menyayangimu.

Salam cinta kerana Allah..


No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .