Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, July 8, 2009

Ayuh Saling Menguatkan


Ana berlari. Memejam mata. Buka kembali. Cuba mencari kekuatan yang kian malap. Cuba mencari sinar kebahagiaan yang semakin samar. Ana terhenti. Menarik nafas. Hembus kembali... Oh Allah, berikanku kekuatan..

Ana sedar, dahulu ana hidup di dalam zon yang selesa. Di bumi KUIS, ana berasa lapang. lega. Suasana yang tenang dan damai amat menenteramkan jiwa biar sekusut mana pun ia. Sungguh, satu suasana yang ana impikan selama ini. Hadirnya para sahibah yang solehah sebagai penguat semangat tatkala lemah pula benar-benar mengasyikkan. Ana terhibur, sehingga kadangkala terasa tidak mahu berhadapan dengan dunia luar. Takut. Gerun.

Namun kini, ana harus berdiri di atas tapak kaki sendiri. Ketika berjalan-jalan untuk membeli sesuatu, sesetengah orang akan memandang ana dengan pelik. Memakai jubah dan tudung labuh, mungkin sesuatu yang asing buat masa kini tatkala baju-baju direka dengan kadar kain yang minima sehingga tidak mampu menutup seluruh aurat para muslimah. Terkadang terbit rasa malu dalam diri ana kerana dipandang asing. Mujur, cepat pula ana teringat pada satu hadith ;

Rasulullah bersabda (ertinya), "Sesungguhnya Islam pertama kali muncul
dalam keadaaan asing dan nanti akan kembali asing sebagaimana semula. Maka
berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba')"

Ana pandang ke kiri. Kanan. Hadapan. Belakang. Oh Allah.. Siapakah yang mampu bersamaku di jalan dakwah ini? Terasa perit sehingga mencengkam segala bibit-bibit manis yang baru hendak berputik. Melihat ummah dalam keadaan yang parah sekaligus meletakkan ana dalam keadaan yang serba salah. Ya. Ana muslimah. Ana berseorangan. Ana manusia biasa yang terkadang gentar juga tatkala mahu membetulkan apa yang salah.
Justeru, pastinya ana amat memerlukan seseorang yang mampu menguatkan, seperti ketika di kuis dahulu. Tapi siapa?

Tatkala ana cuba menerangkan, ada yang membantah. Tatkala ana ingin menjelaskan, ada yang menjerkah. Tatkala ana menegur ada yang mempertikai. Terasa perit, sangat perit hingga tak mampu air mata ini untuk mengalir. Nafsu kuat menyuruh agar ana menjerkah balik tapi berbekalkan iman yang senipis kulit bawang ini, ana cuba bertahan, masih cuba melemparkan senyuman yang mungkin kelihatan hambar... Ana terfikir, bagaimana Rasululullah berdakwah dahulu? Tatkala dikelilingi dengan masyarakat jahiliyah...
Sabarnya baginda! Malunya ana pada baginda!

Oh Allah, telah kau kurniakan Rasulullah dengan sahabat-sahabat yang istimewa di pandanganMu, maka kurniakanlah jua aku sahabat seperti Umar, Abu Bakar, Ali dan juga Uthman agar aku mampu berdiri teguh di jalanMu biar apa jua badai melanda..

Ayuh para muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian... Lihatlah sekelilingmu.. Betapa ummah mengharapkanmu memimpin mereka masuk bersama-sama ke dalam bahtera penyelamat. Ayuh kita bersama-sama saling menguatkan, jangan biar yang lemah semakin lemah...

Media rancak memperbanyak rancangan hiburan, moga kita jua rancak memperbanyak aktiviti dakwah, namun jangan ditinggal tanggungjawabmu yang lain... Berusahalah seperti kamu mahu menongkat dunia dan beribadahlah seperti mati akan menjemputmu esok... Moga nanti Islam akan kembali gemilang....

Salam juang, salam mujahadah!

Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .