Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, October 14, 2010

Berhenti Menyesali Nasib



"Setiap yang berlaku pada diri kita, telah Allah tetapkan di Luh Mahfuz. Perjalanan hidup kita semuanya sudah tercatat di sana. Tapi, kita masih ada peluang untuk mengubahnya. Kita masih boleh berdoa agar diselisihkan daripada perkara yang tidak baik."

Ana meneliti setiap kata yang lahir dari ustaz yang berilmu itu. Benar sekali, Allah telah pun mengingatkan;

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd : 11)


Jangan Menyesali Nasib

"Ah, kenapa nasib aku begini."

"Ah, kenapa aku selalu ditimpa malang."

"Ah, tiada makna lagi aku hidup."

Apabila kita sudah selalu sangat merungut, akan timbul pula satu lagi idea baru iaitu untuk menyalahkan Allah. Minda di luar sedar yang dikuasai oleh emosi semata-mata akan mengeluarkan satu ayat nista, "Di mana Allah untuk membantuku?"

Selepas itu, bimbang pula iman menjadi goyah lantas berfikiran bahawa Allah tidak lagi menyayangi dan terus-terusan sahaja melakukan perkara yang Allah murka. Na'uzubillah.

Jangan, jangan sesekali menyesali nasib. Jika sesuatu yang kita minta itu tidak diperkenankan oleh Allah, berimanlah bahawa Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik lagi.

Ada Hikmahnya

Setiap yang berlaku itu, sungguh-sungguh ada hikmahnya. Yakinlah Allah itu tidak zalim bahkan setiap yang berlaku, walau tampak paling buruk di mata kita, ada terselit secebis cahaya yang bersinar.

“Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang mukmin: Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya, dan jika dia ditimpa kemudharatan, dia bersabar, maka itu baik baginya.”
(Hadith Riwayat Muslim)


Hayatilah satu kisah..

Seorang pemuda tekun menjaga kudanya. Satu-satunya kuda yang dia punya. Satu hari, atas izinNya, kudanya hilang tanpa dapat dicari. Pemuda itu berasa amat sedih, segera dia pulang dan memberitahu bapanya, "Ayah, kuda saya hilang." Hatinya seolah-olah berkecai seribu, ah! siapa yang bisa mengganti satu-satunya kuda yang dia punya.

Namun, ayah pemuda itu tersenyum, dan tenang menjawab, "Sabarlah nak.. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya" Pemuda itu berasa tertekan, "Hikmah apakah yang dimaksudkan? Satu-satunya kuda kesayanganku hilang, di mana hikmahnya?" Bisik pemuda itu di dalam hati.

Keesokan harinya, kuda pemuda itu pulang, tetapi kali ini, kuda itu membawa sekali beberapa ekor kuda liar yang lain! Pemuda itu berasa amat-amat seronok. "Ayah! Ayah! Lihatlah, kuda saya telah pulang, bahkan dibawanya sekali kuda liar yang lain." Ayah pemuda itu tenang. "Perkara ini tidak semestinya baik bagimu, namun setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya."

Ah, hikmah. balik-balik ayat itu yang dituturnya. Apakah yang cuba disampaikan?? Pemuda itu sedikit bosan. Masakan satu berita yang baik sebegitu mampu melukakan hati?

Si pemuda pun meneruskan aktivitinya iaitu menjaga kuda-kudanya. Satu hari yang hening, sedang dia ralit menjaga kuda-kuda peliharaannya, dia tergelincir, terjatuh lalu kakinya patah.

"Ayah....Mengapa malang sekali nasibku?" Pemuda itu menangis. Dengan kaki yang patah, pergerakannya menjadi terbatas. Ah, terkenang kembali saat berlarian dengan aman. "Sabarlah, setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya." Nasihat yang sama meluncur keluar dari mulut ayahnya. "Nasibku begitu malang sekali ayah, apa yang baik yang kamu lihat?" Pemuda itu sudah bosan. Bosan dengan nasihat ayahnya yang sama. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Di mana buktinya?!

Tidak berapa lama selepas itu, datang sekumpulan orang jahat menyerbu ke kampung tempat tinggal pemuda itu. Semua anak muda diambil untuk dilatih menjadi ahli kumpulan mereka. Ya, semua sekali diambil kecuali seorang pemuda...Benar, pemuda yang patah kaki itu terlepas dari cengkaman penjahat yang durjana.

Nah, di situlah hikmahnya... Dalam tangisan, pemuda itu mengakui kebenaran kata-kata ayahnya.

Sahabat sekalian.... Jika kamu benar-benar memerhati setiap nikmat yang Allah telah tetapkan untuk kamu, kamu pasti tidak mampu lagi untuk berlaku sombong dengan Allah.

Ingatlah, Allah tidak memberi apa yang kamu mahu, sebaliknya Allah memberi apa yang kamu perlu.

Bersyukurlah

"Cepat ni nak kena bid kalau tak terlepas pula." Ana bersemangat menghadap skrin komputer yang memaparkan laman web e-bay.

"Kalau ada rezeki tu adalah. Sabar. Sabar." Abang ana bersuara, sekaligus mengingatkan ana yang sedang dibuai nafsu.

Benar, Setiap rezeki kita telah ditetapkan oleh Allah. Lupakah kita pada kisah Nabi Sulaiman yang mengurung semut di dalam satu bekas, disediakannya makanan yang cukup sehingga tempoh baginda akan datang kembali kepada sang semut? Ya. Apabila baginda datang melawat sang semut, makanan itu masih belum habis. Justeru Nabi Sulaiman bertanya, "Wahai semut, kenapa kau tidak habiskan makanan itu? Bukankah aku telah berjanji bahawa aku akan datang kembali dan memberimu makanan?" Apa jawab sang semut? Tenang dia menjawab ;

"Wahai Nabi Allah! Ketika aku tidak dikurung, aku tidak kisah pasal makananku kerana aku yakin Allah telah mengaturkan rezeki buatku. Tetapi, apabila aku dikurung, walaupun kamu telah berjanji, boleh sahaja kamu terlupa, atau berlaku sesuatu ke atasmu. Maka aku meninggalkannya sedikit untuk bekalan."

Nah! Betapa hebatnya iman sang semut, tiada keyakinannya melainkan kepada Allah semata. Setelah kita berusaha, namun kita tidak mendapat apa yang diimpikan... Yakinlah hakikatnya itu bukan milik kita, bersyukur dan berimanlah bahawa Allah ingin memberi yang lebih baik.

Pasti.

Berhenti Menyesali Nasib

Orang mukmin, tidak pernah gentar dengan nasib yang menimpa diri, kerana dalam hatinya penuh rasa cinta terhadap Allah, maka segala apa yang terjadi padanya, dianggap sebagai sesuatu yang baik.

Jika dia diberi kebaikan, maka itu dianggap sebagai satu ujian melihat sejauh mana dia bersyukur.
Jika dia diberi keburukan, maka itu dianggap sebagai satu ujian untuk melihat sejauh mana dia bersabar.

Bukan mudah untuk bersyukur dan bersabar. Hanya yang benar-benar beriman mampu melepasinya.

Bersyukurlah.... Kerana Allah menyukai hambaNya yang bersyukur.
Bersabarlah..... Kerana Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar.

Moga dengan kesyukuran dan kesabaran, Allah mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka..

Moga rezeki yang diperoleh, bukanlah satu istidraj (kemewahan yang Allah beri supaya manusia lebih jauh dariNYA)

Wallahu'alam

2 comments:

syazwina firdausi said...

nice~~
sgt terkesan dgn ayt nih.::
Ingatlah, Allah tidak memberi apa yang kamu mahu, sebaliknya Allah memberi apa yang kamu perlu..
syukr0n ya ukhti..pringatan yg ckup brmkna.. :)

Mastura MY said...

Subhanallah... Terima kasih Allah sebab bagi ana ilham untuk mengingatkan...

Moga sentiasa di bawah redhaNya :)

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .