Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, November 15, 2010

Kenali Jahiliyyah



"Wah Mas! ni nak balik selama-lamanya ke apa ni?" Senior ana pada ketika itu tergelak melihat ana memasukkan baju-baju ke dalam beg besar sedangkan cuti hanyalah 3 hari.

"Er, tak tahu nak bawa balik apa. Rasa semua je kena bawa balik."

Ledakan tawa meletus. Ah, pertama kali tinggal di asrama benar-benar mengajar ana sesuatu yang ana tidak tahu.

Mengenalkan ana pada satu kejahilan yang ada pada diri sendiri. Namun setelah dikenal pasti kejahilan itu, sedikit demi sedikit ana memahami... Kalau balik setakat 3 hari tu, tak perlulah bawa balik semua. Baju kotor pun dah siap-siap basuh dulu. :)

Yang Palsu Itu Bukan Untuk Ditinggalkan

"Kamu tahu tak ada seorang imam dia disuruh oleh ayahnya untuk hafal sejumlah hadith. Dia pun ralit menghafal. Lepas dah hafal semua, dia pun pergi jumpa ayah dia dan bagitahu yang dia dah berjaya hafal semua. Lepas tu kamu tahu ayah dia jawab apa?"

Suara naqibah bergema. Soalan yang diaju dibalas dengan diam seribu bahasa.

"Ayah dia tenang menjawab... Semua yang kamu hafal itu adalah hadith palsu!"

Nah. Kenapa ayah Imam itu menyuruhnya menghafal semua hadith yang palsu belaka. Adakah untuk menguji atau mengenakan si Imam tersebut?

Tidak tidak. Ini bukan juga angkara April Fool yang sedang menjalar dalam masyarakat kini.

Justeru, apa?

Hakikatnya, ayah Imam yang soleh itu menyuruh anaknya menghafal kesemua hadith palsu adalah kerana si Ayah mahu si Anak mengenal yang mana palsu dan yang mana benar. Apabila Imam itu telah menghafal kesemua hadith yang palsu, maka segala hadith palsu yang hadir padanya mampu ditepis dengan mudah.

Jelas bukan?

Yang palsu, yang buruk, yang tidak betul itu bukan untuk kita tinggalkan.

Yang palsu, yang buruk, yang tidak betul itu tercipta untuk kita mengenali, untuk kita mengasah minda, untuk kita menggunakan kekuatan naluri dan pergantungan harap pada Ilahi dalam memilih.

Antara dua jalan itu ; benar dan palsu. Pilihan di tangan kita.

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya. (Qaf : 37)


Kenali Jahiliyah

Realiti masyarakat yang hanya punya Islam pada nama, yang tidak merasakan nikmat berada dalam Islam yang sebenarnya benar-benar merunsingkan semua insan yang punya hati yang hidup.

Islam dan jahiliyah kian bercampur aduk.

Manusia semakin tidak mengenali yang mana satu hak dan yang mana satu batil.

Dunia menjadi kucar-kacir. Kesemuanya mahu menegakkan pendapat tanpa mengira peraturan Allah.

Pengakhirnya, jalan penyelesaian seolah-olah tertutup lantaran manusia tidak berbalik kepada Rabbnya.

"Apa itu Jahiliyyah? Bagaimana cara hendak mengenalinya?"

Baiklah. Begini...

Setiap hari kita menyedut udara. Kita menyangka kita menyedut oksigen yang bersih. Tiba-tiba satu hari kita jatuh sakit, susah untuk bernafas. Kita pun terus ke klinik dan doktor mengatakan ;

"Kamu ni menyedut udara yang tidak bersih."

Aik? hairan.

"Udara yang kotor itu bagaimana? Bukankah di dalam udara itu ada oksigen. Ya ya. Oksigen untuk kita bernafas dan terus hidup."

Doktor pun tersenyum dan berkata.. "Tidak, dalam udara bukan hanya ada oksigen, tapi ada juga karbon dioksida, ada karbon moknosida, ada nitrogen dan bermacam lagi gas merbahaya yang tidak terlihat oleh mata."

Oh begitu.

Justeru itu sahabat, begitu jugalah jahiliyyah. Ia telah bercampur aduk dengan kebenaran sehingga terkadang kita tidak sedar, perkara yang kita lakukan itu adalah salah, tidak benar.

Jadi bagaimana cara untuk mengenal pasti? Adakah dengan hanya menunggu hati kita merasa mati dan sakit, sama seperti kesannya apabila kita menyedut udara yang kotor?

Tidak.

Kita harus mengenali jahiliyyah dengan mendekatinya. Mendekati bukan untuk mengikuti melainkan untuk mengenal pasti perkara-perkara jahiliyyah agar kita bisa mengelakkan diri.

Mendekati bukan bermakna ana menyuruh untuk melakukannya, tapi pelajarilah apa itu jahiliyyah sama seperti imam yang mempelajari hadith palsu.

Pelajarilah... Kerana kita kini sedang dikongkong dengan jahiliyyah yang amat teruk!

Apakah kamu tidak melihat orang-orang yang telah diberi bahagian dari Al Kitab (Taurat)? Mereka membeli (memilih) kesesatan (dengan petunjuk) dan mereka bermaksud supaya kamu tersesat (menyimpang) dari jalan (yang benar). (An-Nisa : 44)


Jahiliyyah Menurut Al-Quran

Mengapakah kini, orang Islam menolak hukum Allah dalam praktiknya?

Menurut Muhummad Qutb, jahiliyyah menurut Al-Quran adalah keadaan jiwa yang menolak Allah, penyusunan masyarakat yang menolak Allah, menghukum dengan bukan hukuman Allah serta melawan Islam dan iman.

Jika semua jahiliyyah adalah bergantung pada diri kita sendiri, maka itu sedikit mudah kerana kita mampu mengubahnya. Namun, apabila ia menular ke dalam masyarakat yang menolak Allah. Di sini akan berlaku kesulitan pada hati...

Ana pernah merasakannya. Sewaktu dikelilingi dengan peraturan yang bukan peraturan Allah, sewaktu memakai tudung labuh dianggap menyusahkan, memegang syariat diperlekehkan dan benarlah hadith Rasulullah s.a.w;

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".(H.R. Tirmizi)


Mengenggam bara api... dipegang sakit, dilepaskan ia akan padam. Tidak mengapa, bersakit-sakitlah sekarang... Kerana Allah pasti telah menyediakan tempat terbaik buatmu di syurga.



Ah, menulis hal ini benar-benar mengingatkan ana pada satu peristiwa yang benar-benar perit. Satu peristiwa yang benar-benar memberi impak besar pada kesihatan emosi dan fizikal ana sehingga beberapa kali ana keluar masuk hospital. Apabila ada yang bertanya tentang hal ini, hati ana seolah dirobek-robek. Bukan setakat menceritakannya bahkan mengingatinya sekalipun ana tidak mahu!

Rasa amat perit apabila syariat diperlekehkan dan ana terpaksa berada dalam sistem itu. Mereka bertanya... Mahukan ana bercerita tentang pengalaman silam.

Menceritakannya umpama ana menyiat hati ana sendiri, tapi ana sedar.. Itulah mahar yang ana harus bayar di atas kesenangan dan nikmat yang ana dapat sekarang. Ana menjadi redha dan tenang menceritakannya kerana ana pasti, Allah meletakkan ana sementara dalam sistem itu supaya ana sedar pada nikmatNya yang mungkin telah ana lupakan, bahkan mungkin juga pengalaman itu berguna buat saudara seIslam yang lain...

Benarlah, kita hanya akan mensyukuri nikmat setelah kita merasakan kehilangannya...

Bangkit dari Kesilapan

"Hish banyaknya bawa balik barang?" Ana tertawa, sengaja menyakat rakan yang mengalami keadaan 'jahiliyyah' seperti ana dahulu.

Dia tersenyum senang, memahami usikan ana.

Belajarlah dari kesilapan... Kerana orang mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

Buat saudaraku... Kenalilah jahiliyyah nescaya dikau akan mengenali kebenaran.. Selepas itu, gengamlah 'bara api' itu, jangan sampai ia padam..

Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .