Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, June 4, 2011

Musibah



"ASSALAMUALAIKUM! ASSALAMUALAIKUM!" Ketukan di pintu bertalu-talu. Jam pada ketika itu sudah pun menunjukkan jam 12 tengah malam.

Saya yang sedang berbaring mahu terlena ketika itu mamai-mamai bangun kembali. Terdengar suara lelaki ada bersama, segera saya dan sahibah bangun dan mencapai tudung.

"Cek cek." Seorang ahli RELA dan seorang kakak masuk ke dalam rumah saya. Saya dan sahibah terkejut.

"Kenapa kak?" Saya bertanya.

"Ada lelaki ceroboh masuk asrama." Dalam cemas,kakak tersebut menjawab.

Ya Allah! Gementar terus hati kami.

"Kunci semua pintu." Pesannya yang terakhir sebelum keluar.

Sekejap sahaja, pengumuman bertalu-talu mengarahkan siswi berdiri di luar bilik.

Allah.... Melihat dari jendela bilik sahibah, ramai yang sudah berkumpul. Tiba-tiba ada yang berlari ke sana-sini seolah-olah mengejar seseorang.

"Tu, tu dia!" Muslimin yang menjaga di luar dan menaiki motor menunjuk ke saru arah, ramai yang mengejar tetapi suspek masih juga belum dapat ditangkap, entah di mana silapnya.

Berkumpul

"Turun! semua turun ke ruang legar!" Satu lagi pengumuman kedengaran. Saya dan sahibah bergegas ke lif. Lif menjadi sesak, ruang legar menjadi tumpuan.

Beberapa taklimat ringkas diberikan.

Kami masih dalam kebingungan, waktu telah pun menganjak ke jam 1.00 pagi.

Ah, apa motif si lelaki tersebut, mahu bersuka-suka atau apa, kami tidak pasti, hanya satu yang pasti, lelaki-lelaki itu telah mencuri waktu emas kami.

Waktu yang tiada galang gantinya.

Rumah Menjadi Tumpuan

Mereka kata, kelihatan kelibat lelaki-lelaki tersebut di kawasan rumah saya, jadi rumah saya acapkali diketuk pintunya untuk dipastikan keselamatan kami.

Pukul 3 pagi barulah kami belum tidur, itu pun tidak berapa lena.

Allah.. tapi di sebalik musibah pasti ada yang Allah mahu tunjukkan.

Hikmah

Menelusuri hikmahnya, pada saat inilah dapat kami rasa, betapa pentingnya kehidupan berjiran, betapa pesanan Rasulullah -

Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku mengira bahawa beliau iaitu jiran tersebut yang akan mewarisinya (pusaka).


ada hikmahnya yang tersendiri. Jiran adalah saudara terdekat kita, kalau ada apa-apa yang berlaku pada kita, jiranlah yang akan kita hubungi.

Maka jangan disakiti hati jiran, berbuat baiklah kepada mereka dan sayangi mereka sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri.

Ukhwah yang erat dan jitu juga dapat dilihat. Ke mana-mana pada ketika ini haruslah berteman, untuk keselamatan bersama. Maka siapa yang berkata mampu hidup sendiri, hakikatnya anda tidak boleh.

Betapa hebatnya seseorang manusia itu..... Dia masih lagi memerlukan manusia yang lain untuk menampung separuh lagi kehidupannya. Benar, mengadu kepada Allah adalah yang terbaik, tapi itulah hikmahnya Allah ciptakan naluri dalam hati kita, untuk kita saling melengkapi sesama manusia.

Lihat Rasulullah S.A.W yang mulia, baginda juga memerlukan sahabat-sahabat terhebat dalam meneruskan misi dakwahnya.

"Takutlah.." Spontan saya bersuara.

"Takut manusia ke Allah?" Teman berbicara, menarik saya ke dunia.

Allah... Gemar sungguh kita takutkan makhluk lain seolah-olah kita hilang keyakinan kepada Allah. Mencipta yakin itulah yang susah, tapi sentiasalah berusaha untuk lebih takutkan Allah dari segala-galanya. Yakinlah, hanya dengan pertolonganNya kita terselamat daripada bencana. Ingat, jika Allah tidak mengizinkan sesuatu itu, maka ia tak akan berlaku.

Akhir kalam, setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya... Terpulang pada kita untuk membuka mata atau terus memejamnya....

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (At-Talaq :2)


Wallahu'alam

2 comments:

Nik Faiz said...

Semoga Allah memberi hidayah kepada penceroboh tersebut..

dan semoga kalian (banat) mendapat pelindungan dari Allah daripada ancaman jin, syaitan dan manusia yang jahat/keji...

Mastura MY said...

insyaAllah ameen.. terima kasih atas doanya

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .