Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, March 3, 2014

kita tak pernah rugi, bila....

Assalamualaikum.

Fuh, lama tak update blog. sebenarnya saya lupa password blog saya. hehe.

Macam-macam yang berlaku, sekarang dah kerja rasa masa semakin sedikit, sedangkan terlalu banyak perkara yang ingin dilakukan..

hm.. jadi ni macam random post je lah ye? ;)

Haritu saya ternampak seekor kura-kura,dia jalan-jalan, lepas tu terbalik.

Bayangkan seekor kura-kura, cengkerang di bawah, kaki meronta-ronta seolah-olah berkata "tolong, tolong selamatkan aku." Lama-lama dia diam, er saya memang takut nak pegang kura-kura tu, eh tak tak bukan takut, tapi kura-kura tu besar, so, hm..



ok sambung cerita..(tukar topik)

Tiba-tiba ada seorang lelaki, dengan gentlemannya terbalik kan kura-kura tu semula dan kura-kura tu pun berjalan-jalan, okay happy ending.

Tapi, di sebalik cerita tu ada sebuah cerita yang tersirat.

Masa kura-kura tu terbalik, macam mana tiba-tiba ada orang nak tolong letakkan dia dalam posisi yang betul semula?

Mesti kura-kura tu doa kat Allah supaya ada orang yang bantu dia, dan Allah hantarlah seseorang untuk tolong dia.. biar pun lama tapi akhirnya dia tetap boleh jalan semula.

So,

saya pun rasa,,,eh selama ni manusia pun berdoa, tapi ramai yang putus asa..sedangkan Allah tu Maha Mendengar, doa dalam hati pun Allah dengar jadi kenapa putus asa untuk berdoa? Doa, doa, doa dan percaya... Allah pasti perkenankan.

lagi satu, bila ada orang minta tolong dengan kita, seharusnya kita rasa suka, rasa happy, rasa teruja, sebab apa? Sebabnya... mungkin orang tu berdoa pada Allah supaya Allah mudahkan urusan dia, and know what? Allah pilih kita untuk tolong dia..

Dalam banyak-banyak manusia, Allah pilih kita... yes! we are the lucky one!


hamboih, tak bangga ke? kalau dapat nombor satu dalam kelas, atau terplih sebagai pelajar terbaik pun mesti dah kembang-kempis hidung tak tahan rasa teruja tu kan.. ni Allah pilih kita.. best kot!

Jadi, sukalah ye bila dapat tolong orang.. tapi ops, batas jangan lupa..kalau perempuan mintalah tolong daripada perempuan, begitu juga sebaliknya..kalau memang dah tak ada langsung orang sama jantina boleh tolong, maka jagalah batas-batas yang ada dalam berurusan dengan insan berlawanan jantina...

Kita pasti tak pernah rugi, bila kita letak Allah dalam hati...

nanti kita sambung lagi ye?

Wassalam...

Read More......

Monday, October 7, 2013

Yang ku Tahu, Allah Bersamaku


Mengintai jendela Zulhijjah...

Bersangka baiklah dengan segala ujian Allah, ia pasti terselit hikmah yang tidak kita duga..

Dahulu... Hajar ditinggalkan di tanah yang gersang, tiada manusia, tiada bangunan, tiada air untuk si kecil yang menangis.. tatkala Nabi Ibrahim menyatakan tentang perutusan Allah itu, Hajar berkata "Adakah ini apa yang Allah suruh? Jika ya, maka tinggalkanlah kami di tanah gersang itu, Allah pasti tidak membiarkan kami sendiri!"

Lalu anaknya menangis dahaga, Hajar seolah-olah hilang arah.. Berlari-larilah ia ke safa dan marwah, Ismail menghentak-hentak kakinya lalu terpancutlah air keluar dari tanah nan gersang..

"Zam..zam.." Hajar mengumpul-ngumpul air, hatinya gembira, terubat juga dahaga si kecil tercinta...

Dengan berkat kesabaran Hajar, kini  ummah mampu menikmati air yang mempunyai molekul terhebat di dunia. Air yang tidak pernah surut meski beratus tahun lamanya diteguk sekian manusia..

Air zam-zam, suatu keajaiban Allah yang kita cinta...

Namun,

Ada sesuatu yang kita lupa...

Di sebalik hebatnya Ibu Nabi Ismail (Hajar), dia punya seorang madu yang tidak kurang hebatnya, (Sarah). Dek kerana terlalu tua dan masih tidak juga dikurniakan zuriat maka Sarah menyuruh suaminya, Nabi Ibrahim a.s mengahwini Hajar.

Aduhai... Hati isteri mana yang tidak sebak menyuruh suami tercinta menikah yang lain, namun mengenangkan zuriat penyambung salasilah Nabi, Sarah kuatkan hati.

Dipujuknya suami yang pada mulanya juga keberatan berkahwin yang lain.

Setelah Nabi Ibrahim mengahwini Hajar, Sarah pun mengandungkan seorang putera.. Ia diberi nama Ishak.

Dari rahim seorang wanita tua, lahir seorang lagi tokoh Agama... kemudian daripada Nabi Ishak lahir lagi para kekasih Allah, para Nabi yang soleh.

Siapa sangka, siapa duga... Allah mengubati hati Sarah dengan keturunan yang hebat.

Allah balut kesepian Hajar dengan tanda-tanda kehebatannya yang kekal sehingga kini..

Maka bersabarlah,

Andai ada ujian yang sakitnya tidak terperi,
Andai kita menangis sendiri,
Andai hati bernanah lagi,
Andai apa yang diimpi tidak mampu dikecapi,

Kerana,

Allah sedang merancang yang terbaik,
Sedang kita tidak tahu,
Apa mungkin apa yang kita mahu,
adalah apa yang kita PERLU.

I LOVE YOU ALLAH.

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, September 19, 2013

Percayalah..


Saat kau jatuh,
Saat kau hiba,
Saat kau menangis,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar...

Tatkala doa kau ucapkan,
Tatkali hancur hati kau katakan,
Tatkala kau rasa dirimu bersendirian,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar,


Biarpun terkadang kau rasa Dia tidak sayang,
Biarpun kau rasa doa tidak dimakbulkan,
Biarpun kau rasa berat sungguh dugaan,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar..

Bukankah dahulu senyum kau ukirkan?
Bukankah dahulu kau punya nikmat yang membahagiakan?
Bukankah dahulu hati kau tenang membahagiakan?
Lalu alasan apa lagi untuk kau ucapkan,
Bahawa Allah tidak mendengar?

Kau kata doa kau tak dimakbulkan,
Kau kata Allah tinggalkan kau sendirian,
Kau kata hati kau hancur berkecai,
Lalu kau kata :
Ahhh! Allah tidak mendengar permintaanku!

Aduhai kawan,
percayalah,
Allah sentiasa mendengar...

Bukannya DIA tak mahu makbulkan permintaan,
Bukannya DIA tak tahu kau hiba sendirian,
Tapi,
DIA mahu beri apa yang kau perlu,
Bukannya sekadar yang kau mahu,
Kerana DIA tahu,
Apa yang terbaik untukmu..

Lalu untuk apa lagi kau menangis?
Mengapa kau berhenti berjalan?
Teruslah berlari meski kau rasa sendiri,
Teruslah berlari meski kau rasa penat dengan semua ini,
Kerana,
Allah tidak pernah berhenti mendengar...

Satu saat kelak,
Tatkala kau kembali bahagia,
Jangan pernah kau lupa,
Bahawa Allah sentiasa mendengar...

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.(Al-Mu'min : 60)

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, September 10, 2013

Sebagai Manusia...


Sebagai manusia...
Kita sering merasa,
Bahawa kita ini ditinggalkan,
Oleh rakan dan juga taulan,
Sedangkan,
Allah tidak pernah meninggalkan,
Sentiasa menanti penuh sabar,
Bilakah kita mahu menyerah...


Sebagai manusia...
Kita sering kecewa,
Pada dunia yang sering menipu,
Sedangkan,
Allah tidak pernah mengecewakan,
Malah sentiasa membahagiakan,
Pemilik hati orang beriman...

Sebagai manusia...
Kita sering menangis,
Pada sesuatu yang sungguh remeh,
Sedangkan,
Allah sentiasa menanti,
Bilakah kita mahu mengadu lagi,
Kerana DIA tidak sabar mahu memakbulkan,
Doa-doamu wahai insan...

Sebagai manusia...
Kita sering merasa,
Bahawa Allah tidak lagi sayang,
Mengapa Allah tidak perkenankan doa,
Sedangkan,
Kita lupa,
Setiap detik nafas siapa yang jaga?
Berapa banyak nikmat yang kita alpa?


Ah,
Kita memang manusia yang alpa,
Tapi kita sering sombong bongkak,
Pada Allah yang menanti di sana...

Wahai Allahku,
Ampunkan daku...

Read More......

Sunday, September 8, 2013

Terfitnah?



"ya Allah, peritnya hati ini." Pernah saya merintih sebegini dahulu. Merintih dan terus merintih. Hingga terasa lemah kaki yang berjalan, terasa longlai jiwa yang mengharap.

Dan kini, saya kerap mendengar luahan sahabat, "Mas, saya kena fitnah, begini begitu."

"Mas, apa yang mereka cerita semuanya bohong."

"Mas, doakan kita kuat."

Fitnah itu dugaan yang besar. Saya sendiri pernah difitnah. Tatkala mata-mata memandang jelek, tatkala masyarakat menganggap kita umpama sampah yang bertebaran, tatkala hati-hati mereka membenci.... Ah, siapa yang tidak lelah?

Kekuatan Sejarah

Buatmu yang sedang lelah, mari.. di sini ada suatu cerita gembira.

Fitnah itu adalah ujian buat para Nabi dan Ulama, senang cerita..Allah menimpakan ujian tersebut pada mereka yang DIA cinta. Saya suka pada satu cerita Rasulullah s.a.w :

Di hujung sebuah pasar ada seorang wanita buta yang tidak henti-henti mulutnya mengatakan yang buruk-buruk pada Nabi yang kita cinta, of courselah cerita-ceritanya tu semuanya dusta. Nabi kan maksum, tiada dosa.

Maka Nabi S.A.W mengunjungi wanita tersebut, membawa makanan, dan tanpa sepatah kata menyuap wanita itu makan sehingga habis. Nabi melakukannya setiap hari, tanpa jemu, tanpa letih...Meski pun telinganya sendiri menangkap kata-kata pedih wanita tersebut.

Suatu hari, Nabi pun wafat. Sahabat bertanya kepada isteri Nabi adakah amalan Nabi yang selalu Nabi lakukan? Maka dikhabarkan kepada sahabat bahawa Nabi selalu menyuap wanita buta di tepi pasar itu makan.

Sahabat pun melakukan perkara yang sama, tetapi wanita itu bertanya, "Kamu siapa?"

"Aku adalah orang yang selalu memberimu makan." Balas sahabat.

"Kamu bohong!"Marah si wanita,"Orang yang selalu datang memberiku makan bersikap lembut denganku, makananku selalu dikunyahkan dahulu maka senang aku menelannya."

Mendengarkan itu, sahabat pun menangis, "Ya, orang itu telah pun wafat. Orang itu ialah orang yang selalu kamu caci. Dialah baginda Rasulullah.."

Mendengarkan itu, wanita tersebut pun terkejut dan menyesal. Lalu, syahadah pun diucapkan.

Nak dengar cerita lagi?

Kita kenal Imam Syafie yang sangat soleh dan tinggi tingkat ilmunya....

Beliau juga pernah difitnah menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiyah. Lalu beliau ditangkap, diikat kaki dan tangannya malah dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Jauh tahu?

Tetapi Imam Syafie bersabar, dan dengan izin Allah Imam Syafie terlepas daripada hukuman, malah orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal.

Bersabarlah, Allah itu Adil

Kita percaya Allah itu adilkan?

tapi kita tertanya-tanya kenapa sampai sekarang kita masih difitnah?

Mari, pertama sekali kita muhasabah diri. Bagaimana akhlak kita terhadap fitnah? adakah kita mengeluh tak tentu hala, adakah kita maki-maki orang yang memfitnah? atau adakah kita bersabar dan merintih kepada Allah?

Jangan tunjukkan level kita sama dengan orang yang memfitnah. Jangan. Kerana itu akan membuat orang yang memfitnah itu gembira.

"Heh..tengok, aku dah kata akhlak dia tu buruk."

Cubalah untuk tersenyum, ya ia pasti mengambil masa untuk hatimu sembuh, tetapi tersenyumlah... kerana senyuman itu amat ditakuti oleh para pemfitnah.

yang kedua, bersabarlah... suatu saat pasti Allah akan tunjukkan kebenarannya. Sama ada cepat atau lambat, Allah pasti tunjukkan.

Yakin, percaya.

Hei...kita ada Allah kan? Siapa yang ada Allah,tak perlukan apa-apa lagi dalam dunia ni. :)

Rileks, nanti Allah pasti membelamu! ;)

Dan Allah pun berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (Al-Baqarah :153)

Wallahu'alam

Read More......

Monday, August 19, 2013

Tuhanku..


Tuhanku,
Apakah layak aku meminta lagi,
Sedang aku sentiasa mengeluh sendiri,
Alpa dengan indahnya duniawi,
Hingga aku terlupa pada banyaknya nikmat yang kau beri...

Tuhanku,
Apakah layak aku mengeluh duka,
Apabila di sini aku masih mampu menaiki kereta,
Sedang aku tahu jauh di sudut dunia,
Ada saudaraku yang lelah menderita...

Tuhanku,
sedikit sahaja ujian kau beri,
Supaya aku tidak lupa diri,
Namun hatiku memberontak lagi,
Konon akulah manusia yang paling suci..

Oh Tuhan!
Apakah aku layak bergelar khalifah,
Sedang aku gagal menempuh mehnah,
Tersungkur,
Terjatuh,
Dan aku tidak mahu bangun semula..

Oh Tuhanku,
Terimalah maafku,
Sambutlah tanganku,
Tunaikan pintaku,
Untuk bertemuMu dalam keadaan damainya qalbu....

i love you, Allah..


Read More......

Sunday, July 14, 2013

Bersyukur Dengan Ujian.


Assalamualaikum.

Pernah tak kita dilanda ujian hingga kita rasa nak lari jauh-jauh sampai ke hujung dunia?

Atau pernah tak kita rasa nak terjun bangunan jelah, atau pun bila kita tengok kematian kita rasa untungnya orang tu dah tak perlu fikir ujian kat dunia. ujian akhirat tak fikir pula

Selalu tak kita dengar orang kata, "Sabarlah.." Dan kita pula rasa nak gaduh je dengan insan tersebut. Alaaa kamu tak kena, boleh lah cakap sabar. Cuba kena, tengok sabar ke tak?

Selalunya, bila ujian datang, akan ada sahabat yang baik menasihati, "Sahabat Nabi dulu, rindu kat ujian. kalau takde ujian dia rasa Allah tak sayang dah."

Maka ada pula suara membalas, "Tu sahabat bolehlah!"

Aduhai, habis tu kalau kita tak nak tiru sahabat Nabi, kita nak tiru siapa? Adakah kita nak tiru Britney Spears atau pun kita nak tiru Lee Min Ho?

Astarghfirullahalazim.. mastura lagha semua ni, lagha!

Hehe.

Maaflah saya dah lama tak update blog. Sebenarnya itu satu ujian juga buat saya. Betapalah nak melawan nafsu malas menaip bila kerja dah berlambak.

Apa-apa pun, tak ada istilah tiada masa bagi kita. yang ada hanyalah tak pandai menguruskan masa. terasa

Lumrah

waktu sekolah dulu.. banyakk sangat ujian yang cikgu bagi kan? ujian bulananlah, ujian pertengahan tahun lah. ish serabutlah, kenapa nak ada banyak-banyak ujian ni?

Lepas habis ujian, dapat pulak nombor dalam kelas. Bila nombor corot, kena marah dengan mak. Kadang-kadang rasa malu pula nak datang sekolah jumpa cikgu.

Tapi dengan ujian tu, cikgu tahu prestasi kita tahap mana dan ujian tu merupakan latih tubi untuk kita menghadapi periksa yang lebih besar..macam UPSR,PMR dan SPM.

Ha! Macam tu jugalah dengan kehidupan.

Cuma ujian tu Allah yang bagi supaya Allah boleh naikkan ranking kita di hadapan Allah. Kalau dulu ranking ke seratus puluh juta ribu, lepas ujian datang, kita sabar dan berjaya melepasinya, mungkin naik ranking kita ke top 10. siapa tahu?

Tapi...kalau kita tak sabar, asyik caci maki situ sini, asyik salahkan orang tu orang ni. Hm, dapat nombor corotlah kita di hadapan Allah. bila dapat nombor corot, sampai satu saat kita nak jumpa Allah, tak ke rasa malu? pandang kiri, member baik duduk sebelah meja waktu sekolah dulu dapat top 20 di hadapan Allah, pandang kanan, jiran sebelah anak Pak Abu dapat top 10 di hadapan Allah. Kita? aish, malulah nak cakap nombor berapa.

Sebab Allah tu Maha Baik, Allah bagi ujian untuk kita mantapkan diri dalam menghadapi ujian-ujian akan datang yang lebih hebat lagi.

Kadang-kadang kita fail juga kan dengan ujian Allah? Alah..macam ujian kat sekolah dulu kita dapat markah rendah. Kalau kita stop, kita taknak belajar lagi..sampai bila-bila lah kita tak berjaya.

dengan ujian Allah ni, kalau kita fail, kita cuba lagi lagi lagi dan lagi. Hei, takkanlah kita tak pernah putus asa buat dosa, tapi cepat sangat putus asa nak masuk syurga?

Kalam Indah

Dan janganlah bimbang saudaraku, kerana Allah telah memujuk kita menghadapi ujianNya dengan kalamNya yang indah :

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(As-Syarh : 5-6)

Jadi, jangan sedih lagi. Marilah tersenyum dan ucaplah Alhamdulillah! :)

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, June 19, 2013

Jaga Hak Allah


Assalamualaikum.

Lama sudah tak update blog.

Alhamdulillah, saya sudah tamat pengajian, sekarang berada di alam pekerjaan... Juga sedang membuat banyak urusan untuk menyambung pengajian. Hakikatnya, hidup ini kita takkan pernah berhenti belajar. Bila dah masuk ke liang lahad pun, kita masih lagi diajar untuk menjawab soalan malaikat.


Saya ingin berkongsi satu kisah benar, mengenai diri saya sendiri. kisah ini bukanlah untuk dibangga-banggakan. Bukan untuk digembar-gemburkan, moga-moga ia menjadi sebuah pelajaran, buatmu insan yang bernama teman.

Dahulu... ketika saya mahu masuk ke Kolej Islam, ramai yang menentang. Katanya, di situ tiada masa hadapan. Di situ tempat orang yang melupakan dunia. Jumud, konservatif dan sebagainya. Namun saya nekad, berbekalkan istikharah dan bergantung harap padaNya, saya meneruskan langkah.

Setahun demi setahun, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian.

Dahulu...Tatkala saya mahu memakai tudung labuh, ada yang kata saya ekstremis Agama! ada yang kata, kalau pakai tudung labuh kelak susah mendapat kerja, bahkan ada yang kata saya mungkin terpengaruh dalam ajaran sesat. Aduhai... Menitis air mata, hati siapa yang tidak terguris, dicaci dicemuh dihina.

Dalam tangis itu, saya melangkah. setapak demi setapak. dari merangkak saya mula berjalan kemudian berlari.

Alhamdulillah, sekarang saya sudah bekerjaya sebagai seorang pensyarah. Jadi juga guru tuisyen separuh masa buat kanak-kanak yang comel. Saya tidak merasa bagaimana keadaan menganggur.

Saya bertudung labuh, dari sebuah kolej Islam... saya sudah mampu buktikan, jika manusia itu menjaga hak-hak Allah, Allah pasti akan menjaga haknya.

Rezeki itu.... bukannya di tangan manusia. Ia milik Allah, semuanya milik Allah. Siapa kita untuk mengatakan orang ini tiada masa depan, orang itu kelam masa depannya?

Jaga hak Allah semenjak kita di bangku pengajian. Jaga keberkatan sebuah sijil itu. Jangan meniru dan jangan meniru. Tiada gunanya mendapat markah tinggi di mata manusia, sedangkan di mata Allah kitalah makhluk terhina.

Dari sebuah sijil itulah kita akan mendapatkan pekerjaan... dari pekerjaan itu kita akan menanggung keluarga, tapi berkatkah rezeki kita, andai di peringkat mendapatkan sijil itu pun kita tidak mencari keredhaan Allah?

sahabat,

Apa yang kita mahukan bukanlah sekadar sebuah ijazah. kalau yang kita mahukan sekadar sebuah ijazah, lebih baik kita beli sahaja ijazah itu. kita mahukan ilmu di sebalik ijazah, dan ilmu itu pula kita mahu ia menjadi sebuah keberkatan.

Percayalah, saya sudah melaluinya!

Hajat doa :)

Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .