Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, August 7, 2015

Aku tahu.


Ya -- aku tahu.

Aku tahu, setiap orang ada kisah silamnya. Ada zaman gelapnya. Ada satu rahsia yang disimpan jauh dilubuk hati. Dilipat kemas. Tidak mahu siapa pun tahu. 

Aku benar-benar tahu. Kamu, aku, kita -- semua sama begitu. 

Itu perkara lalu. Satu sejarah yang terlalu sukar untuk digapai semula. Satu peristiwa yang tak mungkin kita lalui lagi. Peristiwa hitam itu -- yang sebolehnya kita cuba lupuskan, jauh. 

Namun janganlah kau berkata "aku ni.. Takut nak minta ampun, banyak sangat dosa, entah-entah Allah taknak terima lagi" 

Jangan begitu. Tidakkah kau ingat pada Saidina Umar Al-Khatab? Tatkala zaman Jahiliyyahnya dialah penentang Islam terhebat. Dialah jua yang menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Namun -- bila dia masuk Islam, dialah pendokong terhebat, dialah pula yang menangis saban malam memohon ampun. Dialah khalifah terhebat yang melawat rakyat dengan kedua kakinya sendiri. 

Dialah yang memikul gandum di pundaknya ketika malam hening untuk diberi kepada rakyat yang kelaparan, lalu ditegur pembantunya - Aslam :

"Mengapa kau begitu bersusah payah mengangkut gandum di tengah malam begini? Bukankah kau boleh lakukannya esok?" 

Umar lantas memandang kelat wajah Aslam, "wahai Aslam, siapakah yang menjamin bahawa aku akan hidup sehingga esok?" Jawabnya tegas. 

Umar -- suatu ketika dahulu dialah penentang Islam terhebat, namun di akhir hayatnya dialah salah seorang sahabat yang dijanjikan syurga. 

Maka ketahuilah, tidak ada seorang pun yang layak diukur melalui masa silamnya, apatah lagi dikagumi kerana masa depannya. Tidak ada. 

Kita semua sama -- selagi mana kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Yang Esa, kita tetaplah seorang hamba yang layak mendapat pengampunanNya. 

Kalau lah kau tahu betapa Allah amat mencintai suara hambaNya yang meminta ampun -- hingga tatkala Firaun kelemasan di tengah lautan, Jibril menyumbat kerongkongnya agar tidak mampu Firaun bersuara meminta ampun. Kerana, jika Firaun meminta ampun pada saat itu --

Nescayalah Allah mengampunkan. 

Jangan kau terpedaya dengan syaitan. Mintalah ampun dengan Tuhan.

Tapi ingat, maaf yang sebenar ada 3 komponen :

1) maaf
2) ia salahku.
3) apa yang boleh aku lakukan untuk memperbetul keadaan? 

Awak jom, masuk syurga :) 

Read More......

Wednesday, August 5, 2015

Surah kegemaran


Saya kira, semua orang pasti akan ada satu surah yang dia suka. Surah itulah yang akan diulang-ulang baca, yang menjadi teman tatkala duka. Surah itu jualah yang memberi khabar gembira buat dirinya -- walau tak dimengerti oleh yang lainnya.

Tak ada surah kegemaran? Carilah satu. Jadikan ia teman paling akrab.

Bagi saya -- saya amat suka pada surah Al - Insyirah. Bila dibaca, seolah-olah Allah sedang bercakap penuh cinta. Apatah lagi bila saya dirundung duka. 

Bila tiba ayat yang ke 5 -- dan bersama-sama kesusahan disertai kemudahan.

Diulang lagi pada ayat ke 6 -- sekali lagi ditegaskan, bersama-sama kesusahan disertai kemudahan.

Ah, hati mana yang tidak tenteram dengan pujukan Yang Maha Mencinta? 

Dulu saya selalu anggap maksud ayat ini apabila ditimpa kesusahan akan datang pula kemudahan selepasnya -- tapi bila belajar lebih sikit, ayat ni Allah kata BERSAMA-SAMA kesusahan disertai kemudahan. 

Bersama-sama. 

Kereta rosak? Allah nak selamatkan dari accident. 
Jatuh sakit? Allah nak hapuskan dosa. 
Anak tumpahkan makanan? Allah nak selamatkan dari makanan beracun.

Banyak hikmahnya. Cuma kita ni selalu benar fokus pada satu titik hitam -- sedangkan yang putih lebih meluas.

Allah dah pujuk -- bersama-sama kesusahan ada kemudahan. Bila Allah pujuk, kau dengarlah. Kalau tak, kau nak dengar kata siapa lagi --

Sedangkan Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. :) 

Jom, cari surah favourite. Siapa dah ada? Surah apa? Siapa suka surah insyirah juga -- angkat tangan macamni 🙋🙋🙋

;)

Read More......

Friday, July 31, 2015

True love.



Saya tak tahu apa tu true love -- sampai saya lihat mak, lihat abah. Abah sakit -- jadi seperti bayi, tapi mak tak pernah pergi, sentiasa di sisi.

Jadi bila orang kata this is true love, saya selalu akan mencebik -- eleh tak payah nak acah-acah true love, bila yang dilihat itu cuma ketika senang. 

Entah. Ramai yang mesej saya berkenaan hati dan perasaan, ditinggalkan, meninggalkan. Kadang-kadang saya rasa eh korang ni perli ke apa -- tanya soalan tentang relationship kat orang yang sah-sah belum berpasangan. 

Tapi tak apa, sebab saya ada kata-kata yang mak selalu pesan --

Dont be afraid of losing someone who dont love you -- they are the one who should feel regret of losing someone who love them. 

Kata mak -- 

Allah tu baik. Kadang-kadang Allah tak perkenankan doa kita, Allah tak beri apa yang kita minta. 

Bukan sebab kita tak layak --

Tapi kita deserve something better. 

Teruslah bersangka baik dengan Allah Yang Maha Baik. Move on lah, kawan. Macam mana Allah nak bagi hadiah baru kalau kau sibuk genggam perkara lama -- yang tak kisah tentang kau pun. 

Percayalah, bila Allah tutup satu pintu, DIA buka pintu yang lain, cuma kau tak sedar -- sebab kau cuma sibuk menangis menunduk bawah. 

Belajar dari mak --

Cinta itu bukannya sekadar di mulut, ia dibuktikan dengan perbuatan yang tulus.

Macam saya cinta korang, walaupun tak tahu sangat nak jawab soalan relationship, tetap berusaha jawab. Terbukti tak cinta? Luls. 

Tak. Islam tak pernah melarang cinta. Tanyalah mana-mana ulama' sekali pun, tiada yang melarang cinta. Ia fitrah. Fitrah itu wujud untuk dikawal, bukan untuk dilawan. Sebab bila kau lawan sebuah fitrah, kau cuma tambah bengkak di dada, dan menambah nanah pada luka.

Yang Islam larang cuma -- bila fitrah itu kau tukar jadi fitnah. Akhirnya kau yang punah. 

Keep smiling, let go, and move on. Because you know what, whatever happens -- life goes on.

Kahfi jom, kata cinta Allah dan Rasulullah? 

:)


Read More......

Wednesday, July 29, 2015

Percaya seperti musa



~Percaya pada Allah,
Sampai tahap Musa yang tetap percaya,
Meski di hadapannya laut biru,
Di belakangnya Firaun memburu!~

Siapa orang Johor mesti tahu sistem sekolah Agama Johor suatu ketika dahulu. Darjah 1 dan 2 sekolah kebangsaan bererti fardhu ain 1 dan 2 sekolah Agama. Darjah 3 sekolah kebangsaan -- darjah 1 sekolah Agama.

Kalau tak lulus tak naik darjah. Susah, memang susah. Kitab-kitab kuning digunapakai. Subjek banyak, tak macam syllabus sekarang yang digabung-gabungkan menjadi 1 kitab sahaja.

Sekolah Agama Johor -- ada satu darjah istimewa, digelar darjah khas. Kalau lulus periksa darjah 6 (dapat pangkat 1,2, atau 3) bolehlah melanjutkan pelajaran di darjah khas.

Alhamdulillah, waktu darjah 6, saya dapat pangkat 1, maka mak kata rugi kalau tak sambung darjah khas. Waktu tu hati sedikit memberontak, masakan tidak, darjah khas bererti saya berada di tingkatan 3 sekolah menengah. Tingkatan 3 ada PMR, 8 subjek. Darjah khas, lebih kurang 10 subjek. Keseluruhan buku yang perlu dibaca adalah lebih kurang 18! Itu tidak termasuk hafazan dan ujian-ujian lisan yang lain.

Saya ambil lewa periksa darjah khas. Penat sudah otak diperah untuk PMR. Jadual periksa darjah khas pun langsung saya tak ambil tahu. Pergi kelas pun semata-mata tak nak kecewakan mak.

Suatu hari, sebelum masuk dewan peperiksaan, saya belek-belek kitab, “Mas, baca apa tu?” Tanya seorang kawan.

“Kitablah.”

“Kitab apa?”

“Jenayat, kan nak periksa jenayat sekejap lagi.”

“Eh mas ko hilang akal ke apa? Hari ni periksa Hadith lah!”

Hah? saya tercengang. Menggelabah cari buku hadith, masa berbaki lebih kurang 10 minit sahaja sebelum perlu masuk ke dewan. Ah sudah!

Dah masuk dewan -- tengok kertas exam hampir sahaja menitikkan air mata. Soalannya semua berdasarkan situasi. Contoh : Zainab adalah seorang yang penyabar, walaupun ditimpa kesusahan dia tetap bersabar. Hadith apakah yang sesuai dengan situasi Zainab?

Ah memang ketika itu hentam sahaja semua benda. Apa yang terfikir, terlintas semua ditulis. Itu tak cerita ketika periksa Faraid, semua formula Algebra dikeluarkan dan digunapakai. Betapa banyaknya yang perlu dihafal, dan semuanya saya ambil lewa. 

Sesiapa pun yang berada dalam situasi saya, saya kira pasti berputus harap. Harap lulus cukup-cukup makan pun jadilah, dapat pangkat 4 pun ok dah -- yelah nak puaskan hati mak je, fikir saya.

Lalu, bila tarikh keputusan keluar -- saya tak pergi sekolah dulu, saya telefon ustaz. 

“Assalamualaikum ustaz, mastura ni. Saya nak tanya result saya macam mana ustaz.”

“Waalaikumussalam, mastura eh.. sekejap eh ustaz check.”

Berdebar. Sesaat, dua saat, 

“Mastura.. pangkat 1, tahniah.”

“Hah? ustaz janganlah tipu saya ustaz.” Mata saya mula berair.

“Mana ada ustaz tipu..meh lah datang sekolah ambil slip awak ni.” 

Gagang telefon diletak, berita disampaikan pada emak, dan ketika itu emak buat sesuatu yang menghenyakkan saya ke dunia nyata. -- emak menangis dan memeluk saya.

Tika itu saya percaya, restu ibu adalah segalanya. Tanpa restu ibu, tiadalah restu dari Yang Satu.

Tika itu saya percaya, berkat itu punca utama. Hatta susah macam mana pun, pesan emak --jangan meniru, itu yang saya pegang jitu.

Tika itu saya percaya, Allah tak pernah mengabaikan doa kita.

Dan tika itu saya percaya -- dalam hidup ni betapa kita ambil lewa, Allah tetap di situ, tak pernah gagal membantu. Apatah lagi bila kita berusaha bersungguh-sungguh. Ah, malu.

Cuma kita yang kurang percaya. Berdoa sambil lewa, dan akhirnya menuding jari pada Yang Esa. Kata kita --

Ya Allah, aku tidak berdaya, kenapa Kau tidak membela.

Kita lupa, di peringkat pertama, sebenarnya kitalah yang meremehkan DIA.

Allah has a plan for you. He is never late, it is just you who is in rush. Keep your trust in Him. Permintaan syaitan yang derhaka pun Allah perkenan -- inikan pula permintaan kau, hamba yang taat.

~Dan bukankah Allah membantu Musa,
Membelah lautan biru,
Dan menenggelamkan Firaun bersama sekutu,
Bukankah DIA -- Maha Membantu?~

Read More......

Berlapang dada dengan ujian



Tuhan..
Acapkali ujianMu datang menimpa, 
Ingin sekali aku bertanya -- mengapa.
Tapi aku malu pada Hajar,
Yang tak pernah mempersoalkan apa,
Tatkala menerima perintah dari Yang Esa.

Tuhan..
Acapkali ujianMu datang menyinggah,
Ingin sekali aku mempersoalkan -- kenapa aku,
Tapi aku malu pada sabarnya Maryam, 
Meski dihimpit segala macam,
Tetap jua hatinya berpaut cinta -- hanya untukMu.

Tuhan..
Acapkali ujianMu datang membelai,
Ingin sekali aku menafikan -- mengapa bukan orang lain,
Namun aku malu pada tulusnya Ali,
Menangis menyesali diri,
Bukan kerana tidak tertanggungnya ujian dari Ilahi,
Tapi kerana tiada ujian buat diri.

Tuhan..
Acapkali ujian Kau beri tanda cinta,
Izinkanlah aku mencontohi tabahnya Asiah,
Meski dijemur di bawah terik mentari,
Tetap sahaja bibirnya kuntum berseri,

Kerana dia -- kau tunjukkan rumah di syurga,
Lapanglah hatinya,
Mengenangkan negeri abadi selamanya. 
Tunjukkanlah jua buatku -- rumahku di sisiMu.
Agar aku bisa berlari -- walau sebelumnya aku tersungkur sendiri.  

Salam cinta. 

Stay strong everyone! :)

Read More......

Jiwa vs langit


~Ajari aku mencintaiMu dalam lelah,
Ajari aku mencintaiMu dalam duka,
Karena jiwa kadang rapuh bosan tak setia,
Ajari aku mencintaiMu~

Kau pandang langit.

Kau kata --

"Langit ni sama macam jiwa aku. Kosong"

Aku senyum. Langit sama macam jiwa kau? Aku setuju. Ia juga sama dengan jiwa aku.

Tapi tentang kosong, aku kurang setuju.

Kawan, tidakkah kau sedar langit itu dihiasi bulan dihiasi bintang? 
Langit itu -- meski terkadang menurunkan basahnya hujan, memberi kilat yang menakutkan, atau guruh yang berdentum kuat,
Ia juga melemparkan pelangi -- setelah tamatnya segala perkara tadi. 

Lalu aku kata -- ya. Jiwa kita seperti langit. 

Ia selalu dihiasi bintang -- bersinar terang tanda cintanya Allah.
Terkadang jiwa kita dilanda hujan -- tapi sabar. Sekejap sahaja lagi muncullah pelangi cantik. 

Bukankah kau suka pada pelangi itu kawan? Bukankah kita semua tahu yang akan datang lebih baik dari yang telah pergi? 

Lalu kawan, bila kau kata jiwa kau seperti langit, kosong --

Aku mohon kau pandang langit sekali lagi. 

Bukan dengan mata biasa.
Tapi dengan hati di dalam dada.

Salam cinta. 

:)

~Waktu kan berlalu
Waktu tak kembali
Berharap berarti
Sebelum ku mati
Ajarilah aku untuk mencintai
Setulusnya hati sepenuh jiwa ini~

Read More......

Percaya.


Ramadhan day 23 -- Life is not about waiting for the storm to stop ; it's about learning how to dance in the rain. 

“Ihik, ihik” Anak kecil itu melangkah setapak, dua tapak.

Dia terjatuh. Tersengih. Tangannya terasa ada sesuatu. Ah, pemadam. Lalu dia mengambilnya laju, memasukkannya ke dalam mulut.

“No!” Si ibu yang memerhati dari tadi menjerit perlahan, lantas kaki dihayun laju mendapatkan si anak, memasukkan jari ke dalam mulutnya dan mengambil pemadam itu keluar.

“UWAAA!” teriak si anak. Masakan tidak, baru sebentar tadi dia seronok mendapat sesuatu yang baru, tiba-tiba diambil pergi.

Hancur hatinya.
Luruh jiwanya.
Kecewa dirasa. 

Lalu bila ditanya adakah si ibu itu jahat? Saya yakin semua menjawab tidak. Si ibu cuma mahu menyelamatkan anaknya dari bahaya.

Begitulah --

Allah mengasihi kita lebih dari kasih seorang ibu. Masakan Allah sanggup menyakiti kita sewenang-wenangnya.

Tapi kenapa kadangkala Allah tak perkenankan doa kita, malah kadangkala Allah ambil sesuatu dari kita?

Ada orang dahulunya kaya, tiba-tiba jatuh muflis.
Ada orang dahulunya cantik, tiba-tiba jadi hodoh.
Ada orang yang punya orang yang disayangi, tiba-tiba orang itu diambil pergi.

Bukan Allah tak cinta --

Tapi seperti seorang ibu yang menyelamatkan anaknya dari bahaya ; Allah juga sedang menyelamatkan kita dari bahaya.

Kelak satu hari nanti kita sudah berada jauh di hadapan dan menoleh kembali ke belakang, kita akan faham, ohh patutlah Allah buat begini, patutlah Allah buat begitu. Malah mungkin kita akan mendongak ke langit sambil berkata, “Allahku, terima kasih kerana dahulu tak perkenankan apa yang aku mahu.”

Sekarang yang kita perlu lakukan cumalah usaha,sabar dan percaya. Hidup ini macam kita baca novel, kalau kita asyik bertumpu pada satu bab, kita takkan tahu ada bab lain yang lebih menyeronokkan. Tapi hidup ini bukan macam kisah novel yang kita dah tahu awal hujungnya, yang kita tak boleh ubah apa adanya.

Hidup kita -- Allah beri peluang memilih, Allah beri peluang berusaha dan selanjutnya serahkan segalanya pada Yang Kuasa.

Maka bergeraklah, kawan. Hidup ini mudah saja. Yang kita perlu lakukan cuma usaha dan percaya..Lalu apalah yang kau runsingkan?

:)

When you pray, don’t be ashamed to tell everything to Allah, don’t be ashamed to cry your heart out, because you know how sweet Allah is? HE already knows what you want to say, but yet --He still listens.

:)

Read More......

Monday, July 13, 2015

La tahzan


Ramadhan day 26 -- Belajar erti sayang, dari anak kecil yang tak mengerti apa.

"Kak wawa, kak wawa sayang Adam tak?" 

"Mestilah sayang."

"Oh banyak ke sikit?"

"Banyakkkkkkkk. Adam sayang kak wawa tak?"

"Sayang" Angguk

"Banyak mana?"

"Banyak langit" 

:') 

Dan sayangnya dia --

Dibuktikan dengan sebuah percaya. Patuh bila dikata jangan, turut bila disuruh buat. 

Akur -- bila didenda kerana melanggar arahan. 

Sayangnya dia -- 

Tak pernah ragu, bila dibawa ke sana ke mari walau tanpa si ibu. Sayangnya dia -- selalu percaya, meski terbangun dari tidur, celik mata dan menangis, tetap sahaja kembali diam bila dipujuk lembut. 

Itu definisi sayang bagi si kecil, diterjemahkan dengan sebuah percaya. Bukan percaya yang biasa, ia sebuah percaya yang kukuh. 

Lalu kita -- bila berkata sayang pada Yang Esa, mengapa di hati itu tetap terselit ragu?

Mengapa masih dipertikai apa yang DIA suruh,
Mengapa marah bila diuji sedang kita yang selalu merugikan diri,
Mengapa dipersoal itu ini,

Ah mengapakah duhai hamba, susah benar mensyukuri? 

Dan di Ramadhan ini, aku malu pada si kecil itu.

Kerana sayangnya dia -- terserlah pada sebuah percaya. 
Sedang sayangnya aku -- masih terselit ragu.

..dan tatkala Abu Bakar di dalam gua bersama baginda Rasul, musuh semakin mendekat, Abu Bakar ketakutan, dengan tenang Rasul mengingatkan :

La Tahzan. Innallah ha ma'ana.
Jangan sedih. Sesungguhnya Allah bersama kita.

Lalu gugurlah keraguan, mekarlah kepercayaan. Terciptalah kemenangan. 

Moga sahaja kalimat itu selalu tersemat. La tahzan. Innallah ha ma'ana.

Allah, ampunilah hamba yang alpa..

:')

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .