Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, July 29, 2015

Percaya seperti musa



~Percaya pada Allah,
Sampai tahap Musa yang tetap percaya,
Meski di hadapannya laut biru,
Di belakangnya Firaun memburu!~

Siapa orang Johor mesti tahu sistem sekolah Agama Johor suatu ketika dahulu. Darjah 1 dan 2 sekolah kebangsaan bererti fardhu ain 1 dan 2 sekolah Agama. Darjah 3 sekolah kebangsaan -- darjah 1 sekolah Agama.

Kalau tak lulus tak naik darjah. Susah, memang susah. Kitab-kitab kuning digunapakai. Subjek banyak, tak macam syllabus sekarang yang digabung-gabungkan menjadi 1 kitab sahaja.

Sekolah Agama Johor -- ada satu darjah istimewa, digelar darjah khas. Kalau lulus periksa darjah 6 (dapat pangkat 1,2, atau 3) bolehlah melanjutkan pelajaran di darjah khas.

Alhamdulillah, waktu darjah 6, saya dapat pangkat 1, maka mak kata rugi kalau tak sambung darjah khas. Waktu tu hati sedikit memberontak, masakan tidak, darjah khas bererti saya berada di tingkatan 3 sekolah menengah. Tingkatan 3 ada PMR, 8 subjek. Darjah khas, lebih kurang 10 subjek. Keseluruhan buku yang perlu dibaca adalah lebih kurang 18! Itu tidak termasuk hafazan dan ujian-ujian lisan yang lain.

Saya ambil lewa periksa darjah khas. Penat sudah otak diperah untuk PMR. Jadual periksa darjah khas pun langsung saya tak ambil tahu. Pergi kelas pun semata-mata tak nak kecewakan mak.

Suatu hari, sebelum masuk dewan peperiksaan, saya belek-belek kitab, “Mas, baca apa tu?” Tanya seorang kawan.

“Kitablah.”

“Kitab apa?”

“Jenayat, kan nak periksa jenayat sekejap lagi.”

“Eh mas ko hilang akal ke apa? Hari ni periksa Hadith lah!”

Hah? saya tercengang. Menggelabah cari buku hadith, masa berbaki lebih kurang 10 minit sahaja sebelum perlu masuk ke dewan. Ah sudah!

Dah masuk dewan -- tengok kertas exam hampir sahaja menitikkan air mata. Soalannya semua berdasarkan situasi. Contoh : Zainab adalah seorang yang penyabar, walaupun ditimpa kesusahan dia tetap bersabar. Hadith apakah yang sesuai dengan situasi Zainab?

Ah memang ketika itu hentam sahaja semua benda. Apa yang terfikir, terlintas semua ditulis. Itu tak cerita ketika periksa Faraid, semua formula Algebra dikeluarkan dan digunapakai. Betapa banyaknya yang perlu dihafal, dan semuanya saya ambil lewa. 

Sesiapa pun yang berada dalam situasi saya, saya kira pasti berputus harap. Harap lulus cukup-cukup makan pun jadilah, dapat pangkat 4 pun ok dah -- yelah nak puaskan hati mak je, fikir saya.

Lalu, bila tarikh keputusan keluar -- saya tak pergi sekolah dulu, saya telefon ustaz. 

“Assalamualaikum ustaz, mastura ni. Saya nak tanya result saya macam mana ustaz.”

“Waalaikumussalam, mastura eh.. sekejap eh ustaz check.”

Berdebar. Sesaat, dua saat, 

“Mastura.. pangkat 1, tahniah.”

“Hah? ustaz janganlah tipu saya ustaz.” Mata saya mula berair.

“Mana ada ustaz tipu..meh lah datang sekolah ambil slip awak ni.” 

Gagang telefon diletak, berita disampaikan pada emak, dan ketika itu emak buat sesuatu yang menghenyakkan saya ke dunia nyata. -- emak menangis dan memeluk saya.

Tika itu saya percaya, restu ibu adalah segalanya. Tanpa restu ibu, tiadalah restu dari Yang Satu.

Tika itu saya percaya, berkat itu punca utama. Hatta susah macam mana pun, pesan emak --jangan meniru, itu yang saya pegang jitu.

Tika itu saya percaya, Allah tak pernah mengabaikan doa kita.

Dan tika itu saya percaya -- dalam hidup ni betapa kita ambil lewa, Allah tetap di situ, tak pernah gagal membantu. Apatah lagi bila kita berusaha bersungguh-sungguh. Ah, malu.

Cuma kita yang kurang percaya. Berdoa sambil lewa, dan akhirnya menuding jari pada Yang Esa. Kata kita --

Ya Allah, aku tidak berdaya, kenapa Kau tidak membela.

Kita lupa, di peringkat pertama, sebenarnya kitalah yang meremehkan DIA.

Allah has a plan for you. He is never late, it is just you who is in rush. Keep your trust in Him. Permintaan syaitan yang derhaka pun Allah perkenan -- inikan pula permintaan kau, hamba yang taat.

~Dan bukankah Allah membantu Musa,
Membelah lautan biru,
Dan menenggelamkan Firaun bersama sekutu,
Bukankah DIA -- Maha Membantu?~

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .