Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, November 19, 2008

Ubat Bagi Hati


Anak kecil yang comel itu berlari penuh girang. Tawanya jelas kedengaran. Entah apa yang menggembirakan hatinya, hanya dia dan penciptanya sahaja yang mengetahui. Kaki dihayun selaju mungkin, menuju matlamat yang tidak pasti…
Namun, sedang tawa menghiasi diri, kaki pula tersadung batu. Lalu si anak kecil itu terduduk kesakitan. Lututnya berdarah. Gelak tawa yang tadi penuh menghiasi alam diganti pula dengan tangisan yang syahdu. Mata bening itu tetap sahaja menatap luka di lutut. “Apakah salahku” Bicara si anak kecil..
Masa terus berlalu dan lututnya semakin pulih, sehinggakan tiada langsung kesan yang menandakan lutut itu pernah tercedera.. Anak kecil itu kembali gembira….


***


Dalam kehidupan ini, seringkali kita menghadapi situasi seperti anak kecil itu. Namun mungkin situasi kita lebih parah kerana kita sering sahaja terluka di tempat yang tidak kelihatan lukanya.Hati. Di situlah kita sering terluka kerana semakin kita menginjak usia dewasa, semakin pula bermacam-macam jenis perasaan datang menjengah.


Ada yang terluka kerana kawan.
Ada yang terluka kerana keluarga.
Ada yang terluka kerana nasib diri.
Ada yang terluka kerana kekasih.


Lantas, natijahnya sama seperti si anak kecil itu, air mata mengalir deras menuju pipi. Seringkali pula kita terlupa untuk menitiskan air mata demi Allah. Seringkali juga kita terlupa bahawa kita semakin jauh dariNya dan seringkali terlontar ayat “Apakah salahku” dari mulut kita. Kita sering sahaja merenung luka di hati kita tanpa kita sedari mungkin ada sekeping hati milik insan lain yang terluka lantaran kebiadapan kita.


Kita seolah-olah batu yang disadung anak kecil itu. Tapi,kita sering terlupa…
Apabila hati terluka, senang sahaja jiwa menyalahkan takdir. Menyatakan bahawa Allah tidak adil! Sedangkan diri kita sendiri yang tidak pernah mencari sinar kebahagiaan itu… Diri kita sendiri yang sering memandang negative pada setiap perkara… Pada saat iman menjerit-jerit minta difahami, nafsu meronta-ronta minta dituruti, mengapakah hati itu terlalu cenderung dengan tuntutan nafsu lantas membiarkan iman terkulai kesedihan…


Jika lutut yang terluka bolehlah diletak minyak atau iodine utk mengubati luka yang berdarah. Di hati bagaimana? Sahabatku, ubatilah hatimu dengan bacaan-bacaan dari kitab suci Al-Quran, jua zikir-zikir yang membawa hati lebih dekat kepadaNya. Di situ pasti akan ditemui sebuah kedamaian yang dicari-cari... Jangan dituruti hawa nafsu, tapi berilah makanan kepada imanmu… =) Bukankah telah tertulis dalam Kitab Suci Al-Quran ;


Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram(Al-Ra’d:28)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .