Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, May 14, 2011

Zuhud


"Kenapa markah kamu rendah ni?" Tegur Ustaz kepada seorang pelajar.

"Er, saya zuhud ustaz." Seloroh si pelajar yang mengundang hilai tawa teman sekelas.

Ustaz hanya menggeleng kepala. "Banyaklah kamu punya zuhud!"

Zuhud

Adakah zuhud itu bererti memakai pakaian compang-camping ke sana sini?

Adakah zuhud itu bererti manusia yang langsung tidak hiraukan dunia sehingga hidup miskin melarat?

Adakah zuhud itu bererti mengenepikan dunia dan hanya mengejar akhirat?

Jika anda menjawab ya, maka jawab persoalan saya...

Adakah benar Islam melarang umatnya menjadi kaya? Justeru mengapa Uthman bin Affan adalah seorang yang kaya dan khadijah isteri nabi sendiri adalah seorang wanita bangsawan.

Adakah benar Islam menyuruh umatnya hidup miskin melarat? Justeru pernahkah kita mendengar pepatah kefakiran mampu membawa kepada kekafiran? Nikmat di dunia yang banyak, mahu dibuat apa? Bagaimana mahu memandang dunia dari jendela akhirat?

Adakah benar Islam menyuruh mengetepikan dunia? justeru mengapa adanya ayat ini :

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).


Jika sahabat mahu tahu, zuhud bukanlah bererti kita meninggalkan dunia secara total, tapi zuhud adalah apabila seorang manusia itu mengaut segala nikmat di dunia tapi tidak meletakkannya di dalam hati. Dunia letaknya sekadar di tangan agar kita bisa menggenggamnya, bukan diletakkan dalam hati agar kita tidak dipengaruhi.

Jika anda punya wang yang banyak, tapi tidak bermegah-megah dan membeli apa-apa pun sekadar untuk keperluan, makan pun biasa-biasa tidak melampau, maka itu ya zuhud.

Meninggalkan dunia secara total bukanlah zuhud malah itu adalah satu kedangkalan minda yang nyata.

Mari kita selusuri sirah.

Kisah Saidina Umar dan Aisyah

Suatu ketika... Saidina umar singgah di masjid dan melihat sekumpulan manusia yang asyik beribadah tanpa pergi bekerja. Saidina Umar pun bertanya, "Mengapa tidak kamu keluar bekerja.?"

"Zuhud." Balas mereka.

Saidina Umar naik berang, lantas beliau berkata. "Apa kamu fikir emas akan turun dari langit?" Digesanya para pemuda agar bekerja untuk mencari nafkah diri dan keluarga.

Beribadah bukanlah sekadar di masjid, atau tatkala tangan memegang tasbih dan berteleku di atas sejadah. Jangan kita sempitkan pemikiran dengan berfikir ibadah hanya terhad di kawasan-kawasan tertentu.

Hakikatnya, ketika kita berjalan menuju ke tempat kerja atau kelas dengan niat kerana Allah, maka itu adalah ibadah. Memulakan pekerjaan untuk mencari nafkah, itu adalah ibadah.

Segala-galanya adalah ibadah jika semuanya dipasakkan hanya kerana Allah.

Itu baru kisah Saidina Umar. Bagaimana pula dengan seorang wanita Agung yang pintar, -Aishah.

Satu hari, Aisyah berjalan ke masjid. Dilihatnya ada ramai pemuda yang asyik berbaring, bergelimpangan di sana sini, Ustaz kata umpama kain buruk!

Aisyah menjadi pelik dan bertanya, "Apa kalian lakukan di sini?"

Mereka membalas. "Kami zuhud!"

Aisyah membalas tegas, "Aku mengenali Uthman yang lebih zuhud daripada kalian tapi dia adalah seorang yang kaya raya. Aku mengenali Umar yang lebih zuhud dari kalian tapi ketika berjalan dia berjalan dengan penuh ketegasan!"

Ya, kamu berjalan dengan letih seperti tidak bermaya, itu bukan zuhud.
Kamu hanya beribadat di masjid tanpa keluar bekerja itu bukanlah zuhud.
Kamu tidak ke kelas dan asyik dengan program dakwah di sana sini itu bukanlah zuhud.

Malah itu semua adalah fitnah nyata kepada Islam tercinta!

Zuhud itu apa kawan-kawan?

Apa? Mengaut nikmat dunia tanpa meletakkannya di dalam hati?

Pandainyaaa :)

Seorang Sahabat Yang Zuhud

Ramai orang yang tak kisah bab berpakaian, terutamanya ketika solat.

Ada yang berpakaian kotor dan berbau ketika mahu solat.

Di luar pula ada yang memakai baju tidak bergosok, tidak gosok tudung dan adakalanya berbau. Sahabat, itu semua adalah fitnah kepada Islam. Islam itu cantik dan indah dan suka kepada yang cantik dan indah.

Jadi mengapa berjalan dengan penuh fitnah?

Ketika mahu bersolat...Mengapa tidak menyediakan yang terbaik untuk Allah?

Ada kisah seorang sahabat, (maaf saya lupa namanya), dia adalah seorang yang kaya, ketika berjalan dia bersiap sedia berpakaian perang, tapi ketika mahu solat.. Dia menyalin pakaiannya dengan pakaian yang bernilai 1000 dinar.

Ya 1000 dinar! 1000 dinar bukanlah RM1000. Sekarang 1 dinar bernilai rm300++, jadi anda darablah sendiri dengan 1000.

Itulah nilai baju solatnya.

betapa dia memberi yang terbaik untuk Allah, sedang kita hanya memberi yang biasa-biasa sahaja. Jika tak mampu beli yang mahal-mahal, cukuplah pastikan pakaian yang dipakai itu cantik dan bersih... Hanya untuk Allah.

Ustaz saya kata, orang dulu-dulu pergi masjid pakai jubah putih bersih, serban, wangi-wangi... Tapi sekarang, pergi solat jumaat dengan kain pelikat dan t-shirt pagoda sahaja.

Apatah lagi jika solat bersendirian di rumah, mungkin ada lelaki yang hanya berkain pelikat!

Sedih kan, Allah bagi nikmat yang banyak... Namun jarang sekali kita mensyukuri malah terus-terusan membuat fitnah kepada Islam dan dengan bangga mengatakan,

"Saya zuhud!"

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan(Al-Qasas:77)


Wallahu'alam

2 comments:

Unknown said...

Saya suka sangat dengan penulisan entri ni...izinkan saya share di blog saya ya...

Mastura MY said...

dengan penuh rendah hati, silakanlah... sebarkan cintaNya :)

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .