Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, March 22, 2011

Iktibar Bandung -Hari 2-

Kami disapa pokok teh sepanjang perjalanan. Damai.

Indahnya alam yang luas terbentang,
Juga langit yang gah berdiri sendiri,
Pada camar yang girang ke sana sini,
Ah, apakah manusia masih tidak menyedari?


Pagi itu, hari kedua kami di Bandung. Subuh di sana seawal jam 5 pagi, selepas Subuh, terus bersiap-siap untuk bersarapan dan bertolak ke Tangkuban Perahu sekitar jam 9 pagi.

"Nanti di sana, akan ada local tourist guide yang jaga ya." Pemandu pelancong kami berbicara.

"Kenapa ye?" Abah betanya, mewakili kepelikan kami semua.

"Nanti di sana, semua berebut-rebut nak jual barang, jadi bingung."

Kami diam.

Tangkuban Perahu


Kabus sudah turun.. Sungguh dingin!

"Pak, beli pak.. ini murah pak.."

Allah....

Benar seperti dikata, berpusu-pusu peniaga datang menjual barang, dari tanam-tanaman sehinggalah ke kraftangan. Walau dengan harga yang murah, mereka sanggup asal sahaja dapat melihat keluarga tidak kelaparan.

Allah...Allah...

Salah satu kawah gunung berapi di Tangkuban Perahu.

Betapa susahnya mereka mencari secicip rezeki buat menampung kehidupan sekeluarga. Teringat juga nasib-nasib saudara-saudara yang bertebaran di serata dunia.

Mereka parah, mereka derita, meraka sengsara menunggu bantuan yang hanya kan kunjung tiba melalui kepentingan semasa.

Strawberi yang merah dan sedap ini hanya dijual dengan harga RM3 sekotak penuh.

Mungkinkah.. Mungkinkah para pemimpin dunia sekarang sudah semakin lupa.. sudah semakin lupa, bukan melupakan rakyatnya tapi melupakan satu amanah besar yang tergalas di bahu.

Teringat pula pada kisah Umar Al-Khatab yang sanggup memikul gandum di pundaknya lantaran rasa bersalah membiarkan seorang rakyatnya kelaparan.

Pandangan dari atas.

Teringat pula pada Umar Al-Aziz yang berpakaian lusuh walau berpangkat besar.

Oh Benarlah!

Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.(Al-Qasas : 83)


Pokok Batik


Inilah dia pokok batik tu!

"Ek eh, cantiknya dia ukir-ukir kayu ni." Saya berkata sebaik sahaja melihat banyak kraf tangan berasaskan kayu-kayu berukir.

"Ini bukan diukir, ini asli dari pokok" Pemuda yang mengiringi kami menjelaskan.

"Ha?"Saya terkejut. "Memang potong je pokok terus ada corak ni?"

"Iya.. pokok ni ada pelbagai motif batik."

Subhanallah... kata apa lagikah yang layak saya keluarkan. Allah memberi nikmat tanpa putus. Meski mereka tertindas dek rasuah, tapi Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui memberi mereka banyak hasil bumi untuk menampung keperluan hidup.

Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Rabbmu yang Maha Besar. (Al-Waqiah : 96)


Subhanallah... Alhamdulillah.. Allahuakbar!
Mendaki

"Aduii penatnya.." Emak berkata seraya mendaki tangga menuju ke puncak gunung itu.

"Ala mak ni, kata nak bersenam" Saya membalas seraya tergelak kecil, lucu melihat emak yang sengaja melakonkan watak keletihan.

Saya berjalan sedikit ke hadapan.

Saya lupa nama pokok ini, tapi ia amat berkhasiat dan hanya tumbuh di kawasan yang ada belerang. Subhanallah.

"Kamu sudah kerja?" Pemandu pelancong yang mengiringi kami tadi bertanya kepada saya.

Saya menggeleng." Belum, masih belajar."

"Di universiti?"

"Iya."

"Kalau di sana, ada bantuan kewangan?" Dia bertanya lagi.

Saya mengangguk.

"Di sini hanya yang ada duit sahaja mampu masuk ke universiti."

Allah...

Dia juga merupakan salah seorang peniaga yang berniaga di situ. Dengan sabar dia melayan kami, mengambil gambar dan bercerita itu ini, tidak lupa juga menceritakan khasiat ulam-ulaman yang berada di situ.

Semua itu... untuk bekalan seisi keluarga.

Saya lantas teringat pada kisah pemandu pelancong yang menngiringi kami sejak hari pertama yang diceritakan di kereta semasa dalam perjalanan.

"Sebelum saya ambil bapak di airport, saya muntah-muntah. Tidak sihat, saya baru hantar tetamu lain pulang."

"Tak penat?"

"Saya perlu gerakkan semua tubuh, tenaga.. kalau tidak, anak saya tak minum susu."


Allah...

Walau sepuluh sen bagi mereka begitu berharga. Tapi kebanyakan kita, sepuluh sen jatuh di lantai buat tidak endah sahaja...

Mari kita lihat betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan secara percuma. Allah tidak meminta kita membayarnya dengan harta dunia, Allah tidak minta kita membayarnya dengan berteleku di tikar sembahyang 24 jam, Allah tidak meminta yang susah-susah.

Allah hanya mahu kita TAAT. Dan pengakhirannya, Allah beri lagi ganjaran;

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam tempat yang aman, (yaitu) di dalam taman-taman dan mata-air-mata-air; mereka memakai sutera yang halus dan sutera yang tebal, (duduk) berhadap-hadapan,demikianlah. Dan Kami berikan kepada mereka bidadari. (Ad-Dukhan : 51-54)


Jangan jadi seperti orang utan, yang menggenggam ketat dahan tempat berpaut tatkala angin kencang menyapa, tapi tidak mengendahkan pegangan pada dahan tatkala angin sepoi-sepoi datang menyinggah, dan pengakhirannya rebah ke tanah lantaran terlupa pada bahaya yang mendatang.

Kolam Air Panas

Kolam air panas terbuka.

"Lepas ni kita ke mana?" Abah bertanya sewaktu kami dalam pulang dari Tangkuban Perahu.

"Sari Ater Hot Spring."

"Ada tempat mandi tertutup tak?" Saya bertanya, teringin juga hendak merasa mandi air panas yang berpunca daripada gunung berapi ni :)

"Ada...ada kamar khas."

"Baguslah." Saya girang. Bolehlah saya dan emak mandi dengan aman tanpa terlihat oleh mana-mana insan yang tidak harus melihat aurat kami.

Tidak, bukan kami ketinggalan zaman, bukan kami terlalu jumud dalam berfikir, tetapi lantas dengan keimanan yang masih setipis kulit bawang, dengan kesedaran bahawa Islam itu indah, kami merenung satu hadith yang tidak lagi menjadi tumpuan ummah;

Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia masuk ke tempat mandi tanpa mengenakan sarung penutup aurat. Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia membawa masuk isterinya ke tempat mandi umum. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia duduk di meja hidangan yang disuguhnya khamr di atasnya. [Hadits hasan, riwayat at-Tirmidzi]


Kenapa dalam hadith itu wanita dilarang memasuki tempat mandi umum?

Pakaian kita, jika terkena air..pasti melekat-lekat ke tubuh, adakah melekat-lekat ke tubuh itu menepati syara'?

Sahabat semua bijak... pasti punya jawapannya :)

Pulang

Badan yang letih berjalan, terkena pula penangan air panas daripada gunung berapi adalah sesuatu yang membuatkan kita hanya mahu mencari katil dan bantal.

Kami semua keletihan, termasuk pemandu pelacong yang asyik menguap ketika memandu.

Namun Alhamdulillah berkat doa semua, kami selamat juga tiba di hotel selepas makan malam yang menyelerakan.

Ikan-ikan comel di tempat makan.

Bersiap sedia untuk tidur, mungkinkah esok membawa lebih pengajaran?

Oh Insan..
Lupakah dikau melihat gunung yang hebat berdiri,
Atau hujan rintik di celah pagi,
Atau tanaman yang memunculkan diri,
Ah, mengapa sukar benar memuji Ilahi?


Bersambung...

Pautan : Iktibar Bandung -Hari 1-

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .